Bront Palarae raih trofi Pelakon Pembantu Terbaik di Thailand

8 hours ago 3

PETALING JAYA – Terus mencipta sejarah, pelakon Bront Palarae sekali lagi mengharumkan nama negara selepas dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem seram The Cursed Land pada Anugerah Baan Nang Klang Lakorn Ke-21, Thailand.

Kemenangan itu disifatkan Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 47, sebagai satu pencapaian luar biasa kerana langsung tidak menjangkakan pengiktirafan sebegitu di pentas asing.

“Alhamdulillah, berlakon dalam filem Thailand terasa seperti mimpi yang jauh. Apabila menerima anugerah ini, saya rasa macam tak percaya.

“Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dari Anugerah Baan Nang Klang Lakorn ke-21. Gila! Memang di luar jangkaan,” katanya menerusi hantaran Instagram.

Dalam ucapan penghargaan, Bront mendedikasikan kemenangan tersebut kepada seluruh pasukan produksi The Cursed Land yang disifatkan telah bekerja keras menjayakan naskhah berkenaan.

“Saya ucapkan terima kasih dari lubuk hati kepada pasukan The Cursed Land. Kerja keras anda semua menjadikan pencapaian ini satu realiti.

“Terima kasih juga kepada Panu Aree, Kong Rithdee, Nonzee Nimibutr, Chankit dan Suraphi yang sentiasa sabar dan memberi sokongan penuh sepanjang penggambaran,” ujarnya.

Bront turut menewaskan lima pencabar hebat termasuk Benjamin Varney dan Bhumipat Thavornsiri menerusi filem In Youth We Trust, Wanarat Ratsameerat (Taklee Genesis), serta dua pelakon filem box office How to Make Millions Before Grandma Dies, Sanya Kunakorn dan Pongsatorn Jongwilas.

Dalam masa sama, Bront menyifatkan penglibatannya dalam filem berkenaan sebagai pengalaman berharga kerana dapat bergandingan dengan pelakon ternama Thailand serta rakan-rakan Melayu.

“Berpeluang berkongsi layar bersama Ananda Everingham, Jennis, mendiang Sida Puapimon dan dua pelakon Melayu, Han Zalini serta Firdaus Karim adalah sesuatu yang tidak akan saya lupakan,” katanya.

Lebih manis, filem The Cursed Land turut tercalon dalam tiga kategori lain iaitu Sinematografi Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Mengakhiri ucapannya, Bront menzahirkan harapan agar lebih banyak kisah masyarakat Melayu di wilayah selatan Thailand mendapat ruang di layar perak negara itu.

“Saya harap satu hari nanti, lebih banyak kisah tentang komuniti Melayu di wilayah selatan dapat diangkat ke layar. Mereka juga punya sejarah kaya yang wajar didengar dan diraikan,”luahnya.

Terdahulu, Bront pernah meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2015.

Anugerah Baan Nang Klang Lakorn merupakan acara berprestij yang mengiktiraf karya televisyen serta penstriman cemerlang di Thailand sepanjang tahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |