Resort unik ‘tersembunyi’ di Lumut, tawar pengalaman percutian buat keluarga

6 hours ago 3

Bagi mereka yang suka bercuti di hotel yang terletak di tepian pantai digabungkan dengan pemandangan lepas bebas dari laut Selat Melaka dan digabungkan dengan lokasi premis di pinggir bukit, menjadikan DoubleTree by Hilton Damai Laut Resort di Lumut, Perak bakal menawarkan satu pengalaman percutian unik untuk tetamu tidak kira berkeluarga, berpasangan dan juga pelanggan korporat.

Lebih menarik, pemanduan yang hanya mengambil masa tiga jam dari Kuala Lumpur itu juga akan memberi satu lagi momen menarik sebelum sampai ke pekarangan resort tersebut apabila anda akan melalui jalan berliku dan berbukit sedikit yang diapit dengan hutan kecil serta pastinya akan terserempak dengan kera dan monyet yang melintas di kawasan berkenaan.

Semua pemandangan tersebut sukar diperoleh di resort lain di dalam kumpulan DoubleTree by Hilton di seluruh negara dan ia hanya terdapat di DoubleTree by Hilton Damai Laut, Lumut.

Menurut Pengurus Besar resort berkenaan, Sahara Ahmad, resort tersebut mampu memenuhi keperluan percutian yang mengagumkan buat keluarga yang terdiri daripada warga emas hinggalah kepada si cilik kerana segala kemudahan yang disediakan di situ dapat memenuhi keperluan mereka.

“Seperti berada di sebuah resort terasing, privasi tetapi cukup eksklusif akan membuatkan pengunjung tidak mahu melepaskan masa melihat pemandangan indah ketika matahari terbit dan juga terbenam, semua akan tertumpu menunggu saat tersebut.

Apatah lagi kemudahan lain, kolam renang seperti mini taman tema air dan juga hidangan makanan dan minuman yang terdapat di restoran membuatkan mereka pasti kembali lagi bercuti di sini,” kata Sahara yang berpengalaman luas dalam bidang perhotelan.

KOSMO!: Bagaimana resort ini menyerlah sebagai destinasi percutian keluarga, terutamanya pada musim cuti sekolah?
SAHARA: Hotel ini hanya terletak tiga jam pemanduan dari Kuala Lumpur, jadi pas­tinya resort ini menjadi pilihan pelancong tempatan bukan sahaja yang tinggal di negeri ­Perak, malah ia mampu menarik minat masyarakat dari Utara, Selatan dan juga Pantai Timur.

Premis ini menawarkan pengalaman khususnya pemandangan unik ketika berada di atas bukit menghadap laut dan ketika berada di tepi pantai adalah satu momen yang sukar didapati di resort lain.

Resort ini juga dapat memenuhi keperluan untuk percutian sekeluarga iaitu daripada kategori bilik Family Suite yang luas dan selesa serta kategori bilik lain yang bersesuaian dengan bajet tetamu.

Selain itu, mereka juga boleh menikmati pengalaman bermain golf bertaraf kejohanan di Damai Laut Golf & Country Club, sebuah padang golf par-72 rekaan Ronald Fream yang menampilkan pemandangan laut dan kehijauan tropika.

Apakah pengalaman istimewa bagi keluarga yang mahu lari daripada kesibukan kota dan menikmati keseimbangan antara hiburan untuk anak-anak dan bersantai untuk ibu bapa?
Kami percaya bahawa percutian keluarga yang sempurna memberi ruang untuk ibu bapa berehat sambil anak-anak kekal aktif dan terhibur.

Kanak-kanak boleh menikmati aktiviti luar seperti menunggang ATV, bermain bola tampar dan bola sepak di tepi pantai, berbasikal, berseronok di taman air atau men­yertai aktiviti kanak-kanak di Kids Club.

Ramai juga yang tidak tahu bahawa kami juga menye­diakan pelbagai aktiviti luar se­perti lawatan ke Pulau Pangkor, tunggangan Jet Ski dan permai­nan air lain.

Dalam masa yang sama, ibu bapa boleh menikmati pengalaman spa bertaraf antarabangsa di eforea Spa yang memenangi anugerah, atau bersantai di Executive Lounge sambil menikmati pemandangan laut yang memukau.

Gabungan ini menjadikan resort kami tempat terbaik untuk keluarga sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan dan mencipta memori bermakna bersama.

Berapa peratusan profil pengunjung resort ini yang terdiri daripada keluarga, korporat dan individu?
Sekitar 72 peratus daripada tetamu kami terdiri daripada keluarga, terutamanya ketika musim cuti sekolah dan hujung minggu.

Baki tetamu pula terdiri daripada pelancong individu serta kumpulan korporat yang datang untuk program insentif atau retreat pembinaan pasukan.

Apakah kadar purata penginapan bulanan dan bilakah pencapaian tertinggi yang pernah dicatat?
Kadar purata penginapan bulanan adalah sekitar 54 peratus, dengan lonjakan ketara pada musim cuti sekolah, cuti umum dan perayaan. Rekod penginapan tertinggi kami adalah 92 ­peratus yang dicatatkan pada bulan Di­sember.

Selain tetamu keluarga, adakah pihak resort turut menyasarkan pasaran korporat?
Pasaran korporat juga pen­ting buat kami sebagai tetamu di resort ini, kami mengalu-alukan kedatangan mereka melalui pakej insentif, mesyuarat dan retreat yang diadakan dalam suasana santai tepi laut.

Resort ini dilengkapi dengan ruang acara fleksibel, bilik mesyuarat serta aktiviti luar yang sesuai untuk program pembinaan pasukan, termasuk aktiviti di tepi pantai, aktiviti sukan air, golf dan lawatan ke Pulau Pangkor.

Boleh jelaskan lebih lanjut tentang eforea spa yang menjadi salah satu tarikan terbaik di resort ini?
Eforea Spa menawarkan pengalaman menyeluruh dengan menggabungkan terapi tradisio­nal Asia Tenggara menggunakan produk berjenama Kerstin Florian yang eksklusif.

Spa ini telah mendapat pengiktirafan sebagai salah satu daripada 100 Spa Terbaik Dunia daripada World Luxury Awards 2024, ini merupakan bukti komitmen kami terhadap kualiti dan ke­sejahteraan tetamu.

Apakah inisiatif kelestarian yang telah dilaksanakan?
Sebagai pe­nerima ASEAN Green Hotel Award, kami komited terhadap prinsip kelestarian me­lalui inisiatif se­perti pengurangan penggunaan plastik, pengkomposan sisa makanan, dan program komuniti bersama penduduk tempatan.

Te­tamu kami begitu prihatin terhadap alam sekitar dan mereka amat menghargai pendekatan ini dan sering memberi maklum balas yang positif. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |