2,361 haiwan liar mati dilanggar sejak tahun 2020

4 hours ago 3

KEMAMAN – Kematian haiwan liar semakin membimbangkan dengan 2,361 kes telah direkodkan dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2020 termasuk melibatkan seekor anak gajah di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik – Jeli, Perak semalam.

Menteri Alam Sekitar dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia turut melibatkan lapan ekor gajah dan lima harimau belang yang diancam kepupusan sepanjang tempoh tersebut.

“Lima negeri yang merekodkan kematian haiwan liar akibat kemalangan ialah Pahang dengan 765 kes, Perak (478), Kelantan (224), Terengganu (201) dan Negeri Sembilan (187).

“Lapan ekor gajah telah mati dilanggar dalam tempoh tersebut iaitu seekor pada 2020, dua ekor masing-masing pada 2021 dan 2024 serta tiga ekor sehingga semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui selepas memantau Operasi Gerak Kenderaan Bermotor anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Jakar di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata, kematian tiga ekor gajah dalam tempoh kurang lima bulan itu amat membimbangkan dan diangggap serius oleh kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan akan menambah kawasan santuari gajah bagi mengurangkan risiko haiwan mamalia terbabit keluar dari habitatnya sehingga menyebabkan kematian akibat kemalangan.

“Kerajaan juga telah menambah peruntukan Dana Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada RM250 juta setahun bagi meningkatkan kawasan hutan simpan selain menambah laluan haiwan dan papan tanda bercahaya di lokasi berisiko,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan seekor anak gajah berusia lima tahun mati dilanggar sebuah lori membawa muatan ayam di JRTB Gerik-Jeli.

Insiden pukul 2 pagi itu meruntun hati netizen apabila ibu gajah terbabit cuba ‘menolak’ lori terbabit menyelamatkan anaknya yang terperosok di bawah kenderaan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |