MEKAH – Kawalan ketat yang dilakukan pihak berkuasa Arab Saudi berhubung peraturan larangan haji tanpa visa bukan sahaja memberi kesan positif kepada keselamatan jemaah yang sah, malah mereka dapat menunaikan ibadah di Masjidil Haram, di sini dalam keadaan lebih tenang.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, Tabung Haji (TH) melihat keberkesanan peraturan ketat larangan haji tanpa visa yang sah oleh kajian Arab Saudi ini adalah untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan jemaah dari seluruh dunia terjamin.
Menurut beliau, dalam masa sama Majlis Ulama Tertinggi Arab Saudi telah mengeluarkan fatwa selain menentukan hukum bahawa hanya jemaah yang mempunyai permit sah dapat mengerjakan haji.
“Jadi TH memandang kawalan ketat yang dibuat oleh Kerajaan Arab Saudi ini sebagai sesuatu yang positif kerana pertamanya ia menjamin ketenteraman di kawasan sekitar Masjidil Haram. Kita dapati sekarang ini keadaan yang tenang, tidak serabut macam sebelum ini.
“Kita dapati pergerakan keluar masuk jemaah haji ke Masjidil Haram adalah teratur dan kita juga tak nampak kesesakan yang teruk di dalam masjid. Alhamdulillah dengan itu memudahkan jemaah untuk melaksanakan umrah, contohnya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Baru-baru ini, Majlis Ulama Tertinggi Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa individu yang menunaikan haji tanpa visa sah adalah perbuatan berdosa.
Beliau berkata, ia juga memberi peluang kepada jemaah yang datang dari seluruh dunia untuk mengerjakan ibadah haji dengan lebih tenang dengan lebih mudah tanpa gangguan.
“TH juga mendapati dengan adanya kawalan ketat ini, kualiti pengurusan haji ini bertambah baik, di mana dari segi logistik, dari segi pengangkutan di sekitar ataupun trafik di sekitar Kota Mekah ini adalah teratur dan tidak sesak, kita tak nampak kesesakan seperti tahun-tahun sebelum ini.
“Kawalan ini juga mampu untuk mengawal keselamatan gangguan awam dan saya dapati jemaah haji Malaysia rata-rata memuji peraturan baru ini di mana peraturan ketat ini telah membolehkan mereka melaksanakan ibadah umrah dengan lebih selesa, alhamdulillah,” katanya.
Mengulas mengenai perkembangan pergerakan jemaah haji Malaysia, katanya, setakat hari ini sebanyak 39 daripada 47 penerbangan telah mendarat di Madinah dan bermula 14 Mei ini bermulalah penerbangan dari KLIA, Sepang ke Jeddah.
“Setakat ini, kita sudah ada 11,396 jemaah di Tanah Suci di mana 5,253 jemaah berada di Madinah dan 6,143 lagi sudah berada di Mekah,” katanya. – KOSMO! ONLINE