Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2024 diumum esok

5 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Siapakah bakal bergelar Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan sempena Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 akan terjawab pada majlis penuh berprestij itu di Subang Jaya esok.

Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Dr. K. Nagulendran menerima 148 pencalonan untuk 11 kategori daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Justeru, calon-calon yang disenarai pendek untuk setiap kategori adalah dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang setiap atlet sepanjang saingan 2024.

Bagi Olahragawan Kebangsaan, ia terdiri daripada pemain badminton perseorangan lelaki, Lee Zii Jia diikuti beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Wong Weng Soon (wushu), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat) dan Abdul Latif Maxzakir (pencak silat).

Kategori Olahragawati Kebangsaan pula akan menyaksikan perebutan antara atlet tenpin boling, Sin Li Jane, Nor Farah Ain Abdullah (boling padang), Tan Cheong Min (wushu), Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri (berbasikal) dan Nor Farah Mazlan (pencak silat).

Sementara itu, jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin mengetuai senarai pencalonan Olahragawan Paralimpik Kebangsaan bersama Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga), Datuk Abdul Latif Romly (para olahraga), Eddy Bernard (para olahraga) dan Cheah Liek Hou (para badminton).

Persaingan untuk Olahragawati Paralimpik Kebangsaan tidak kurang hebatnya apabila terdiri daripada Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais (para berbasikal), Nur Suraiya Muhamad Zamri (para berbasikal), Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia), Hasmunirah Malik (para boling padang), dan Noor Imanina Idris (para olahraga).

Atlet yang dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan akan menerima piala, piala iringan, sijil serta hadiah wang tunai RM20,000.

Selain kategori-kategori yang disebutkan, ASN turut menawarkan tujuh lagi anugerah lain, iaitu Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan serta Anugerah Khas.

Anugerah yang diperkenalkan sejak 1966 itu akan turut diserikan dengan keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berkenan berangkat ke majlis tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |