Persatuan haiwan rayu kerajaan perbanyak ‘animal viaduct’

4 hours ago 2

PETALING JAYA – Persatuan Haiwan Malaysia menggesa kerajaan memperbanyak pembinaan lintasan haiwan atau ‘animal viaduct’ susulan nahas melibatkan sebuah lori yang dipercayai melanggar mati seekor anak gajah di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, kelmarin.

Presidennya, Dr. Arie Dwi Andika berkata, antara faktor insiden berkenaan terjadi adalah disebabkan ketiadaan infrastruktur khusus yang mencukupi buat haiwan liar setelah habitat asal mereka diterokai.

“Saya tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap kecuaian pemandu lori tersebut kerana pengurusan yang perlu disediakan terhadap haiwan liar ini adalah lebih penting.

“Solusi yang terbaik adalah perlu memikirkan haiwan liar mengenai bagaimana untuk membina lintasan haiwan tanpa mengganggu keselesaan untuk mereka menjalani aktiviti harian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mencadangkan pihak kerajaan perbanyakkan struktur laluan khas yang selamat untuk hidupan liar tersebut di atas lebuh raya atau halangan buatan manusia yang lain.

Arie turut berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan tersebut kepada pihak kerajaan sejak 2018, namun tiada perkembangan baharu dilaporkan selepas pembinaan yang terakhir di Gerik, Perak.

Hasil semakan di Facebook persatuan berkenaan juga, setakat ini hanya tiga lokasi lintasan haiwan liar telah dibina di Semenanjung Malaysia.

Ia merangkumi koridor ekologi Sungai Deka, Terengganu dengan pembinaan tiga lintasan dibina pada 2009, koridor ekologi Sungai Yu di Pahang dengan tiga lintasan dibina pada 2014 di Gerik, Perak dengan dua lintasan dibina pada 2015.

Dalam pada itu, Arie turut meluahkan rasa sedih terhadap insiden terhadap kehilangan mamalia tersebut, selain kesal dengan tindakan pihak berkuasa membawa ibu gajah itu kembali ke dalam hutan selepas kejadian.

“Sepatunya pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menghantar ibu gajah berkenaan ke pusat rehabilitasi gajah untuk emosi yang terjejas.

“Ini kerana, risiko untuk ibu gajah kembali ke lokasi kejadian disebabkan terhidu bau karkas anaknya itu akan lebih memburukkan keadaan,” ujarnya.

Beliau yang menyifatkan gajah sebagai haiwan yang penyayang turut menggesa pihak kerajaan agar memainkan peranan proaktif dalam memperluaskan pembinaan laluan khusus bagi memastikan kelangsungan hidup haiwan liar di negara ini

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan, rakaman video memaparkan seekor gajah betina cuba ‘menolak’ sebuah lori yang dipercayai melanggar mati seekor anak gajah di Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli hari ini, mengundang reaksi sebak orang ramai.

Video berdurasi satu minit 11 saat yang tular di media sosial itu menunjukkan kemalangan membabitkan lori muatan ayam yang mana seekor anak gajah terperosok di bawah kenderaan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |