[VIDEO] ‘Susah nak cari orang Malaysia yang betul-betul susah’

4 hours ago 1

PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial, Aisar Khaled, menarik perhatian orang ramai apabila dia mendedahkan sebab di sebalik kecenderungannya menghasilkan video berkongsi rezeki bersama rakyat Indonesia berbanding di tanah air sendiri.

Menerusi satu rakaman rancangan audio siar atau podcast popular Indonesia, Curhat Bang, Aisar menjelaskan bahawa jumlah golongan memerlukan di Indonesia jauh lebih ramai berbanding di Malaysia.

“Susah nak cari orang Malaysia yang betul-betul susah, tidak ramai.

“Indonesia ramai orang susah sebab rakyatnya ramai, hampir 300 juta. Dekat Malaysia susah kita nak jumpa rumah-rumah kecil yang dibina sendiri, tapi di Indonesia banyak. Kalau di Malaysia perlu cari di kawasan pendalaman baru kita akan jumpa,” jelasnya.

Aisar turut menyatakan bahawa sambutan dan reaksi rakyat Indonesia terhadap bantuannya lebih menyentuh hati berbanding di Malaysia.

“Kalau di Malaysia, mereka akan ucap terima kasih. Tapi di sini (Indonesia) agak berbeza. Saya sangat tersentuh dengan momen itu,” katanya.

Tinjauan di ruangan komen media sosial mendapati ramai menyambut baik usaha Aisar membantu golongan memerlukan, tanpa mengira bangsa atau negara.

“Aku tak kisah dia nak kejar populariti ke, yang penting dia keluarkan duit dan bantu saudara seagama. Aku yakin bantuannya bukan sedikit. Semoga rezekinya dipermudah,” komen @faiq_larkinton.

“Dia bukan tak tolong orang Malaysia sebelum ini, cuma orang Indonesia lebih menghargai dia dan sokong kontennya di sana.” kata @@ilyana.laoshi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |