MEKAH – Jemaah haji Malaysia diminta mengelakkan untuk mandi secara kerap sebaliknya menggunakan pelembap kulit bagi mengelakkan penyakit kulit ataupun gatal-gatal akibat cuaca kering serta panas di Tanah Suci ketika ini.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, pihak Tabung Haji (TH) mendapati ramai jemaah Malaysia menghadapi simptom berkenaan selepas kerap mandi kerana faktor cuaca di sini.
“Kita sarankan supaya mereka dapat menggunakan pelembap kulit terutamanya kepada penghidap diabetik kerana bila bergaru itu boleh luka jadi inilah penyakit yang kita dapati banyak terdapat buat masa ini iaitu kulit yang kering dan gatal.
“Sehubungan itu, kita berharap supaya Jemaah Haji kerap minum air, mengambil minuman yang secukupnya dan tidak mandi terlalu kerap,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, pihak TH juga berharap supaya jemaah yang berada dalam kapal terbang selama sembilan jam perlu membuat sedikit latihan atau senaman ringan supaya darah dapat berjalan dengan baik.
“Apabila tiba di sini mereka tidak terkena apa yang dikenali sebagai deep vein thrombosis di mana darah beku akan menyebabkan organ-organ dalam badan boleh terkesan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr. Hairul Izwan Abdul Rahman berkata, setakat ini klinik TH di Tanah Suci telah menerima sebanyak 2,059 pesakit luar dengan simptom sakit kulit itu merupakan penyakit kedua tertinggi diterima.
“Terdapat lima penyakit utama dikesan dengan tertinggi adalah berkait saluran pernafasan seperti batuk, kedua penyakit kulit diikuti sakit otot, sakit tekak dan sakit perut.
“Jadi kita nasihatkan jemaah untuk memakai pelitup muka kalau tidak sihat bagi mengelakkan jangkitan di dalam bilik jemaah dan orang lain,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE