Malaysia selangkah dinobat Raja Kuadran Asia

5 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Misi memburu gelaran laman sendiri semakin hampir apabila skuad kuadran sepak takraw negara menepati ramalan mara ke pentas final Piala Asia Kuala Lumpur 2025 selepas menumpaskan Korea Selatan 2-0 dalam aksi separuh akhir penuh mendebarkan di Stadium Titiwangsa hari ini.

Skuad negara yang dipimpin jurulatih berpengalaman, Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif, menampilkan persembahan cukup garang dengan kemenangan straight set 15-13, 15-8 sekaligus menafikan sebarang peluang Korea Selatan untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Korea Selatan yang menurunkan barisan padu Seon Woo Young Su, Lee Junuk, Oh Dae Yang dan Lee Min Ju mempamerkan corak permainan agresif, namun tidak cukup ampuh untuk menembusi tembok pertahanan skuad negara yang digerakkan oleh Amirul Zazwan Amir, Muhammad Norfaizzul Abd Razak, Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Muhammad Fetri Mohd Azwawi.

Set pertama berlangsung sengit apabila Korea Selatan berulang kali mencabar kekuatan libasan negara, namun pengalaman dan ketenangan pemain negara menjadi penentu sebelum mereka menamatkan set kedua dengan lebih selesa.

“Permulaan agak perlahan tapi pemain bangkit dengan intensiti tinggi. Ini pertemuan pertama kami dengan Korea dan kami berjaya kawal permainan mereka yang berasaskan taktikal tinggi,” kata Zulkarnain selepas tamat perlawanan.

Servis berbisa Afifuddin dan gulungan tajam Shahalril menjadi antara kunci utama kemenangan negara sekali gus mencetuskan amaran awal di pentas final selepas dijadual menentang Jepun malam ini di venue yang sama.

Jepun membuat kejutan dengan menyingkirkan naib juara Piala Dunia India 2025, Vietnam menerusi kemenangan 2-0 (15-12, 15-11).

“Jepun bukan lawan mudah. Kita pernah tewaskan mereka di peringkat kumpulan tapi perlawanan akhir pasti berbeza. Kami akan bersedia sepenuhnya,” kata Norfaizzul yang menuntut rakan sepasukannya bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan.

Untuk rekod, Malaysia muncul juara Kumpulan B selepas mencatat kemenangan bersih ke atas China (2-0), Filipina (2-1) dan Jepun (2-0).

Kini hanya tinggal satu halangan terakhir buat skuad negara untuk menobatkan diri sebagai Raja Kuadran Asia. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |