KUALA LUMPUR – Anggota kumpulan Dolla, Sabronzo memilih untuk tidak mendedahkan identiti kekasihnya kepada umum.
Menurut Sabronzo atau nama sebenarnya Wan Sabrina Wan Rusli, 30, kisah percintaannya belum lagi masuk ke fasa yang serius.
“Saya terharu bila ramai peminat yang berminat untuk tahu tentang kehidupan saya. Tetapi buat masa sekarang saya tiada apa yang serius dan tiada perkara besar yang akan berlaku.
“Untuk topik ini memang tiada perkembangan lain. Saya minta maaf, saya sangat berharap dapat berkongsi dengan lebih lagi. Tapi memang tak ada apa-apa untuk dikongsikan.
“Sekarang ini memang tumpuan saya 100 peratus kepada Dolla. Kami baru sahaja keluarkan lagu baharu bertiga. Jadi tahun ini akan kembali sibuk dengan kerjaya muzik,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu baharu Dolla berjudul MWA! di Bukit Bintang baru-baru ini.
Tambah Sabronzo lagi, sejak pembabitannya dalam bidang seni, dia memang sangat menjaga privasi dan tidak suka berkongsi perihal peribadi kepada umum.
“Saya jarang berkongsi tentang kehidupan peribadi saya termasuklah tentang keluarga saya atau kawan-kawan.
“Saya ingin melindungi mereka daripada terkena tempias negatif netizen. Biar saya sahaja yang kena. Tetapi untuk orang yang saya sayang, saya akan cuba untuk tidak mendedahkan mereka,” ujarnya.
Ditanya tentang spekulasi mengatakan dia menjalin hubungan dengan seorang DJ muzik berbangsa asing seperti yang diperkatakan netizen, Sabronzo mengakui dia berkawan dengan lelaki tersebut.
“Kami berkawan. Itu sahaja yang saya boleh katakan buat masa sekarang,” jawabnya ringkas.
Terdahulu, Sabronzo mendedahkan tentang cincin di jari manisnya adalah pemberian seorang yang istimewa sempena hari lahirnya yang ke 30. Namun dia tidak mendedahkan siapa identiti pemberi tersebut. – KOSMO! ONLINE.