SHAH ALAM – Peranan pengeluar produk makanan tambahan atau pengeluar produk penjagaan kesihatan dan kecantikan bukan sekadar menjual barangan dan membimbing para ejen dan stokisnya berjaya dalam bidang perniagaan masing-masing tetapi juga syarikat tersebut boleh melakukan lebih lagi dalam pembentukan pembelajaran kanak-kanak.
Inisiatif ini bukan sahaja dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang berkualiti bukan sahaja daripada aspek akademik tetapi sahsiah diri untuk berinteraksi dengan dunia luar selain memiliki personaliti yang baik.
Bagi merealisasikan misi tersebut, Eskayvie, peneraju industri produk kesihatan halal di negara ini, telah mengorak langkah terbaik dalam bidang pendidikan untuk melahirkan pelajar cemerlang malah mahu membangunkan mereka sebagai ‘duta kecil’ yang akan memberi motivasi dan semangat kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun-tahun akan datang.
Pengarah Urusan Eskayvie, Kartika Wati Mohamed berkata, pihaknya telah melancarkan Kempen Booster Minda yang kini telah menganjurkan program kedua untuk meraikan pelajar cemerlang yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama dan juga ada yang berjaya memperbaiki diri dalam peningkatan gred pada peperiksaan percubaan.
Menurut beliau, tahun ini seramai lebih 400 pelajar cemerlang telah dicalonkan untuk mendapat penghargaan daripada syarikat bagaimanapun pada majlis kali ini, hanya sekitar 60 pelajar dari seluruh negara yang cemerlang bersama ibu bapa dan keluarga mereka berkelapangan untuk hadir dalam majlis penyampaian anugerah tersebut.
Rata-rata para pelajar ini mendapat manfaat daripada produk keluaran syarikat iaitu Eskayvie Mindtropic yang bersesuaian untuk pengguna berusia dua tahun ke atas sehingga dewasa.
“Kempen Booster Minda ini turut digerakkan melalui kerjasama strategik oleh pihak sekolah, organisasi korporat serta disokong oleh pilihan ibu bapa dan keluarga yang menggalakkan anak-anak mereka mengambil makanan tambahan tersebut.
“Anugerah yang kami berikan kali ini terbahagi kepada dua iaitu kumpulan pelajar yang memperoleh semua A dalam peperiksaan SPM dan bagi kumpulan kedua adalah untuk pelajar yang mencatat peningkatan cemerlang dan peningkatan gred ketara berbanding peperiksaan percubaan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian anugerah pelajar cemerlang SPM Eskayvie Mindtropic di sini baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Eskayvie, Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri.
Kartika menerangkan, syarikat mahu melangkah lebih jauh lagi dalam bidang ini melalui kempen berpotensi berkenaan dengan sasaran untuk melahirkan lebih 100,000 pelajar cemerlang.
Tambah beliau, kempen tersebut membawa tiga inisiatif utama untuk menyokong pelajar dan ibu bapa secara menyeluruh iaitu kesedaran nutrisi otak bertujuan untuk meningkatkan kefahaman ibu bapa tentang pentingnya nutrisi dalam prestasi akademik.
Inisiatif lain adalah memberi panduan gaya hidup sihat yang menggalakkan rutin harian seimbang seperti tidur yang mencukupi, aktiviti fizikal dan juga pengurusan emosi.
Inisiatif ketiga pula adalah pendekatan memperoleh ilmu daripada pakar yang bakal memberi akses kepada sesi bersama pakar pemakanan dan doktor perubatan mengenai pemakanan terbaik untuk kecerdasan minda.
Selain itu, Kartika memaklumkan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan jika ada keperluan pada masa depan, syarikat dijangka menawarkan program biasiswa kepada pelajar cemerlang terpilih untuk meneruskan kecemerlangan mereka di menara gading.
Mengulas lanjut, Kartika berkata, Eskayvie yang telah berada di pasaran sejak 13 tahun lalu kini memiliki 36 unit penyimpanan stok (SKU) yang memberi manfaat bukan sahaja kepada pelanggan tetapi juga kepada pengedarnya di seluruh negara.
“Kami akan melancarkan produk baharu pada suku ketiga tahun ini yang memfokuskan kepada kesihatan wanita,” jelasnya.
Tambah beliau, segmen produk Eskayvie Mindtropic dan Eskayvie Mindtropic Junior untuk kanak-kanak di bawah umur dua tahun menyumbang kira-kira 30 peratus kepada pendapatan syarikat. -KOSMO! ONLINE