PM arah LIMA’25 tekankan pemerkasaan syarikat tempatan

5 hours ago 3

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) memberi penekanan kepada pemerkasaan syarikat tempatan.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, pemerkasaan itu perlu dilakukan khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Penekanan dan pemerkasaan itu perlu dilakukan agar syarikat tempatan khususnya PKS dapat menembusi pasaran antarabangsa melalui inovasi.

“LIMA’25 juga akan memangkin pertumbuhan ekonomi dengan menarik pelaburan langsung asing dan merancakkan pelancongan serta perdagangan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri disiarkan pada Facebook rasmi Anwar Ibrahim, hari ini.

Menurut beliau, Perdana Menteri menekankan bahawa LIMA’25 bukan sekadar pameran aset dan teknologi, tetapi medan strategik untuk membina kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan.

“Ia menghimpunkan pemain utama dalam sektor pertahanan dan penerbangan komersial, termasuk dalam bidang MRO, IoT, satelit dan teknologi angkasa.

“Penganjuran ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab teknologi maritim dan aeroangkasa di peringkat serantau dan global,” ujarnya.

Tambah beliau, Perdana Menteri turut mendoakan agar semua urusan persediaan berjalan lancar.

“Usai lawatan rasmi ke Russia pada 13 hingga 16 Mei ini, Perdana Menteri akan menghadiri LIMA’25 yang bertemakan ‘Innovate Today, Thrive Tomorrow.’

“Perdana Menteri turut mengalu-alukan kehadiran pempamer, pelabur dan pelawat dari dalam dan luar negara untuk menjayakan LIMA’25 sebagai antara edisi yang bermakna dalam sejarah penganjurannya, insya-Allah,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |