‘Berhenti buat andaian, Fattah nasihat ibu tak baca komen netizen’

9 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Pelakon Fattah Amin meminta ibunya, Azizah Abdul Ghani tidak membaca komen negatif dalam media sosial berkaitan dakwaan menggelar cucunya, Fatima Aisya sebagai kanak-kanak tidak memiliki wajah yang comel.

 Fattah, 35, berkata, ibunya juga meluahkan rasa sedih apabila menjadi mangsa kecaman netizen berhubung isu tersebut.

“Pastilah dia rasa sedih, tapi saya cakap tak perlu baca dan dengar perkara begini.

“Sebab benda-benda ini orang luar tak tahu apa yang berlaku.

“Orang luar boleh buat andaian, cakap macam-macam benda dan fitnah yang mereka mahu.

“Tapi kesimpulannya, kalau benda-benda itu tak betul, kita jangan terasalah dan usah terkesan sebab benda itu tidak betul,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu dan pengumuman duta baharu jenama Amber di sini, semalam.

Dalam masa sama, Fattah sebagai seorang bapa juga mengakui terkesan apabila wujud isu melibatkan anak perempuannya yang baru berusia lima tahun.

“Sebagai ayah dan anak, saya rasa kesal bila benda-benda begini berlaku kepada ahli keluarga saya.

“Saya juga selalu nasihatkan peminat agar hati-hati dalam mengeluarkan sebarang komen. Kalau nak komen sekali pun, cakaplah benda yang baik-baik.

“Tapi kita tidak boleh nak kawal semua orang nak taip, cakap dan fikir,” ujarnya.

Mengulas mengenai hubungan Fatima dengan ibunya, Fattah berkata, semuanya dalam keadaan baik dan tidak perlu diperbesar-besarkan.

“Setakat ini Fatima tidak menunjukkan sebarang reaksi atau emosi negatif. Hubungan kami sekeluarga semuanya masih okey dan tiada masalah.

“Jadi, berhentilah buat andaian yang negatif sebab tidak bagus untuk semua pihak,” ujarnya lagi.

Hari ini, Fattah tampil menjernihkan keadaan dengan memuat naik video memaparkan Fatima, berbual mesra dengan neneknya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |