PETALING JAYA – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) merangka lima cadangan berteraskan agenda pembinaan Negara Bangsa yang inklusif dan harmoni berjumlah RM250 juta bagi inisiatif Belanjawan 2026.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata lima inisiatif utama tersebut adalah perpaduan dan identiti nasional, keharmonian dan kesejahteraan komuniti, transformasi pendigitalan serta premis perpaduan kondusif.
Beliau berkata, sebanyak RM100 juta dicadang bagi inisiatif Perpaduan dan Identiti Nasional dengan memfokuskan pelaksanaan program perpaduan, sukarelawan dan kenegaraan berfokus kepada agenda pembinaan Negara Bangsa.
“Bagi inisiatif Keharmonian dan Kesejahteraan Komuniti yang peruntukannya dicadang sebanyak RM100 juta akan melibatkan pengukuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif, peremajaan Skim Rondaan Sukarela, pemerkasaan Mediator Komuniti serta Inisiatif Harmoni Madani.
“Bagi inisiatif Ini Warisan Kita (peruntukan RM10 juta) ia akan memfokuskan kepada pemerolehan bahan sejarah serta khazanah warisan negara untuk dipelihara dan diwarisi generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sesi Dialog Belanjawan 2026 KPN, di sini, hari ini.
Sementara itu, Aaron berkata bagi inisiatif Transformasi Pendigitalan yang memperuntukkan sebanyak RM20 juta ia akan memberi perhatian kepada pendigitalan khazanah warisan negara merangkumi muzium, arkib dan perpustakaan agar lebih mudah diakses masyarakat.
“Sebanyak RM20 juta pula diperuntukkan bagi inisiatif Premis Perpaduan Kondusif bagi penambahbaikan fasiliti dan kemudahan di premis perpaduan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Di dalam sesi dialog hari ini, ia menjadi platform libat urus bagi membincangkan keperluan, cadangan serta keutamaan berkaitan Belanjawan 2026.
Pelbagai pihak berkepentingan terlibat termasuk agensi kerajaan, KRT, Badan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan, pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta orang awam.
Dalam pada itu, Aaron turut mengemukakan cadangan agar kerajaan mempertimbangkan penyediaan insentif pengecualian cukai kepada syarikat-syarikat yang menyumbang secara langsung kepada program atau aktiviti perpaduan di peringkat komuniti.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar
peruntukan Geran Aktiviti Tahunan KRT ditingkatkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 setahun.
“Peningkatan ini membolehkan KRT melaksanakan lebih banyak aktiviti berimpak tinggi dan inklusif di peringkat akar umbi,” katanya. -KOSMO! ONLINE