SEPANG – Kes pengesahan taklik masih belum berkesudahan, pelawak Along Cham mengakui berdepan kecaman netizen yang tidak mengetahui perkara sebenar di sebalik kemelut rumah tangganya dengan isteri, Afreena Suhaimi.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, berkata, wanita terbabit kerap mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan salah faham orang luar terhadapnya.
“Mental setakat ini tidaklah terganggu sangat sebab saya di pihak yang benar. Cuma mulut netizen sampai libatkan keluarga. Kerja pun pada saya tidak terjejas. Namalah (buruk), biasalah bab kes cerai kalau tak dapat cerita sebenar, lelaki akan kena ‘A to Z’.
“Saya tak boleh salahkan netizen sebab pihak defendan lepas keluar mahkamah macam-macam dia cakap. Saya apa-apa nak keluar kenyataan memang rujuk peguam. Sepanjang kes ini apa yang kita bentangkan dalam mahkamah sahaja.
“Dekat media pun setahu saya, saya tiada bercerita apa-apa. Apa yang media dengar (dalam mahkamah) itulah yang keluar (berita) ,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Sepang bagi pengesahan lafaz taklik, di sini, petang ini.
Along diiringi peguamnya, Muhammad Akmal Amzan selain ibu, Siti Habsah Kadir, 64, serta anak tunggalnya, Ahmad Daniel, 14, bersama seorang wanita yang difahamkan merupakan saudara terdekat.
Pada masa sama, Along berharap urusan pengesahan taklik di mahkamah yang sudah berlanjutan selama lapan bulan itu dapat diputuskan hari ini.
“Saya harap hari ini Hakim dapat buat keputusan. Perkara ini (taklik) berbalik kepada (hukum) syarak, saya harap semuanya dapat diputuskan hari ini sebab saya sudah lama tunggu,” ujarnya.
Terdahulu, pelawak Along Cham memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap isterinya di pada 28 Januari lalu dan pengesahan ini sudah dilakukan pada 10 Mac 2025.
Along mendakwa isterinya melanggar tiga perjanjian taklik yang dipersetujui sebelum ini, antaranya adalah perbuatan curang dan tindakan membelakanginya dalam urusan rumah tangga.
Afreena pula mendedahkan perkahwinan mereka bermasalah selepas dua bulan berkahwin dan dia juga mendakwa pernah berlaku lafaz cerai di luar mahkamah iaitu di rumahnya pada Julai tahun lalu.
Hari ini difahamkan giliran Afreena, 29, untuk menjawab dakwaan suaminya sebelum Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi membuat sebarang keputusan.
Along dan Afreena mendirikan rumah tangga pada 4 April tahun lalu. Ini adalah perkahwinan kedua Along selepas bercerai dengan bekas isteri, Zila Saeron pada September 2016.
Hasil perkongsian hidup dengan Zila, mereka dikurniakan anak lelaki, Ahmad Daniel, 14, yang kini di bawah jagaannya. – KOSMO! ONLINE