PETALING JAYA – “Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu,”
Demikianlah kata-kata bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung kes anaknya diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada pukul 1.45 petang tadi.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, sepanjang dirinya menjadi seorang ahli politik berprofail awam, inilah kali pertama keluarganya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti ini.
“Terima kasih kepada semua yang telah menghantar mesej dan bertanya khabar.
“Insha Allah, sementara saya akan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Bercerita mengenai kejadian tersebut, Ahli Parlimen Pandan itu berkata anaknya diheret seorang lelaki sebelum dicucuk dengan jarum suntikan ketika ingin memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah tersebut.
“Semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal.
“Serangan itu melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya.
“Mereka telah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada ketika yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata, anak lelakinya berusia 12 tahun telah dibawa segera ke Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Rafizi berkata, pihak polis sudah berada di tempat kejadian dan keluarganya telah pun memberi kenyataan.
Katanya, sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh pihak polis dan Hospital UPM.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia dan Hospital UPM yang telah membantu keluarga saya melalui kejadian ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan seorang budak lelaki berusia 12 tahun menjadi mangsa serangan di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, sekitar pukul 2 petang tadi.
Mangsa yang juga anak kepada Rafizi dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal akibat kejadian itu.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti individu yang dipercayai terbabit.- KOSMO! ONLINE