AMSC 2025 pacu Malaysia sebagai hab inovasi perubatan serantau

4 hours ago 3

PETALING JAYA – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab inovasi perubatan serantau dengan penganjuran Persidangan Perubatan dan Pembedahan Estetik Malaysia ke-4 (AMSC Malaysia 2025) baru-baru ini.

Persidangan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menghimpunkan lebih 1,600 delegasi dari lebih 30 negara untuk memacu hala tuju baharu dalam bidang perubatan estetik.

Program dua hari bermula 6 Ogos itu anjuran bersama Persatuan Perubatan Estetik Malaysia (MSAM) dan Deltus menampilkan pencapaian penting yang memperkukuh jaringan global.

Kehadiran nama-nama besar, termasuk wakil dari Korea Selatan dan Singapura, menguatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi penting dalam dunia estetik dan pelancongan kesihatan.

Menurut Presiden MSAM merangkap Pengarah Saintifik AMSC, Dr. Tingsong Lim, AMSC Malaysia 2025 melambangkan kesediaan Malaysia untuk memainkan peranan lebih besar dalam membentuk masa depan perubatan estetik.

“Dengan membawa kepakaran global ke tanah air, kita memperkukuh daya saing Malaysia sambil menyumbang kepada kemajuan bidang perubatan estetik di rantau ASEAN.

“Penganjuran ini menyerlahkan kemampuan Malaysia menterjemahkan pengaruh kepada
pencetus kemajuan dengan membina platform kolaborasi dan inovasi yang melonjakkan Kuala Lumpur sebagai pusat perkembangan perubatan estetik serantau,”ujarnya.

Untuk rekod, pada tahun lalu, negara merekodkan sekitar 1.6 juta pesakit antarabangsa, peningkatan 14 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan hasil dianggarkan sebanyak RM2.72 bilion.

Momentum ini disokong oleh pelancaran kempen Malaysia Year of Medical Tourism 2026 (MYMT 2026) baru-baru ini yang menyasarkan kutipan hasil antara RM12 hingga RM15 bilion menjelang 2030.

Ia turut dipacu oleh inisiatif seperti kemudahan visa dan Flagship Medical Tourism Hospital Programme (FMTH) yang memudahkan akses pesakit antarabangsa kepada rawatan berkualiti tinggi.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |