Aira rangkul hatrik juara kebangsaan

4 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Pemain skuasy wanita negara, Aira Azman melakar sejarah peribadi apabila meraih gelaran Kejohanan Skuasy Kebangsaan buat kali ketiga berturut-turut selepas menundukkan kakaknya, Aifa Azman di Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David sebentar tadi.

Pemain berusia 20 tahun itu terpaksa berhempas pulas sebelum menamatkan perlawanan penuh sengit dalam lima set dengan keputusan 8-11, 11-9, 9-11, 11-6, 11-8.

Kejayaan tersebut mengulangi pencapaian tahun lalu di Kuala Lumpur apabila Aira menewaskan Aifa di final, selain menambah koleksi selepas gelaran sulungnya pada 2023 ketika menundukkan Noor Ainaa Amani Ampandi.

Aira menyifatkan kemenangan kali ini sangat istimewa kerana sekali lagi hadir dalam suasana kompetitif menentang kakaknya sendiri.

“Saya sangat gembira dengan cara saya bermain hari ini. Walaupun ini kali kedua saya bertemu kakak dalam Kejohanan Kebangsaan, saya bersyukur dapat kemenangan 3-2 kali ini,” katanya selepas perlawanan.

Menurutnya, perlawanan itu benar-benar menguji fizikal dan mental, malah menuntut fokus penuh hingga ke mata penentuan terakhir.

“Kami bermain perlawanan yang sangat sengit hari ini. Saya sangat gembira dapat memenangi gelaran kebangsaan ketiga saya. Tahun lalu ia berakhir dalam empat set, tetapi kali ini sampai lima set,” jelasnya.

Aira turut berkongsi detik sukar apabila terpaksa bangkit daripada ketinggalan.

“Dia (Aifa) mendahului 2-1 pada awalnya, jadi saya bangkit dalam dua set terakhir. Kami sudah banyak kali berentap tahun ini, termasuk di Terbuka Bermuda. Kami saling tahu kekuatan dan kelemahan masing-masing,” ujarnya.

Selepas mempertahankan mahkota kebangsaan, Aira kini mahu mengalihkan fokus kepada pentas antarabangsa yang lebih mencabar di Mesir.

“Saya akan bermain di Mesir nanti. Fokus saya adalah satu demi satu perlawanan kerana saya ada aksi sukar di pusingan pertama. Jika berjaya ke pusingan kedua, saya akan bertemu pemain nombor tiga dunia, Hania El Hammamy. Saya benar-benar menantikannya,” kata Aira.

Dalam kategori lelaki, Duncan Lee mencipta kejutan apabila merangkul gelaran kebangsaan sulungnya dengan penuh bergaya selepas menyingkirkan pilihan kedua di separuh akhir sebelum mengejutkan pilihan utama di final menerusi kemenangan straight set 11-9, 11-8, 11-8. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |