Aina, Ernie, Dayang ungguli 9 pencalonan AIM24

2 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Penyanyi Aina Abdul, Ernie Zakri dan Dayang Nurfaizah masing-masing mendahului Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) dengan sembilan pencalonan.

Menurut Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, kejayaan tersebut menjadi satu kejutan besar kerana merupakan penyertaannya yang pertama di pentas berprestij berkenaan.

“Sebenarnya saya masih rasa terkejut lagi sebab ini adalah AIM pertama saya. Saya rasa macam kelu dan terharu.

“Saya terkejut sebab kita hantar pernyataan untuk hampir semua kategori.

“Tapi yang mana nak sangkut itu kita berserah kepada Allah. Mana yang tak dapat tidak mengapa,” katanya kepada Kosmo! Online usai sidang media pengumuman Top 5 AIM24, hari ini.

Mengulas lanjut, pelantun lagu Terus Hidup itu menanam impian untuk menggenggam trofi AIM selepas masuk ke studio komposer, Ajai.

“Jadi saya rasa gembira. Saya tak sangka dua-dua versi album yang saya hantar itu dapat tempat. Terima kasih kepada ketua juri, Datuk Mokhzani dan semua juri yang menjurikan saya.

“Saya memang dah lama mengimpikan dan sebenarnya, saya nak rasa pegang anugerah itu juga.

“Saya nak rasa sebab bila saya kerja dengan sifu saya. Contohnya Abang Ajai, saya dapat lihat di studio dia, ada banyak anugerah AIM ini. Itu jadi pembakar semangat,” katanya lagi.

Aina yang pertama kali tercalon dalam AIM meraih pencalonan bagi kategori Rakaman Lagu Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Kulit Single/Album Terbaik, Album Terbaik (2), Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Runut Bunyi Terbaik Dalam Filem/Drama, Vokal Wanita Terbaik.

Penjurian telus

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim memaklumkan proses penjurian tahun ini dijalankan dengan penuh ketelusan bermula 14 Julai lalu.

“Proses penjurian diurus tadbir sebuah badan bebas iaitu Macomm Management Services Sdn Bhd.

“Mereka mengumpulkan semua pemarkahan dan seterusnya menyerahkannya kepada juruaudit bebas untuk membuat perkiraan markah iaitu Mazars.

“Apa yang dipersembahkan hari ini adalah senarai calon Top 5 yang memperoleh markah tertinggi. Pada 13 September nanti, akan diumumkan siapakah yang mendapat markah tertinggi dan dinobatkan sebagai pemenang AIM24,” ujarnya.

Selain itu, ketua juri Datuk Mokhzani Ismail mendedahkan pihaknya menerima hampir 900 pencalonan tahun ini dan proses berlangsung sangat mencabar.

“Terdapat sebanyak 862 pencalonan bagi 30 kategori, dengan 26 kategori dijurikan melalui tiga fasa.

“Antaranya termasuk kategori teknikal seperti Rakaman Album Terbaik, diikuti dengan kategori-kategori lain, dan yang terakhir sekali adalah kategori Lagu Terbaik.

“Bagi saya, kita melalui tiga fasa penjurian yang agak mencabar kerana perlu menilai 26 kategori dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya lagi.

Tahun ini, AIM turut memperkenalkan empat kategori baharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik serta Kugiran Terbaik.

Malam Kemuncak AIM24 berlangsung secara langsung di saluran TV2 dan RTMKlik dari Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada 13 September 2025. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |