Aaliyah Yoong terus menyerlah

9 hours ago 3

PUTRAJAYA – Ratu luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah menutup tirai Kejohanan Ski & Wake Malaysia 2025 dengan penuh bergaya selepas mendominasi keseluruhan acara pada saingan di Kompleks Sukan Air, Presint 6, Putrajaya hari ini.

Atlet berusia 22 tahun itu membuktikan status bintang dunia apabila menyapu bersih empat kategori terbuka wanita iaitu slalom, tricks, lompat dan keseluruhan sekali gus meneruskan rekod cemerlangnya seperti edisi-edisi terdahulu.

Berada di ranking ketujuh dunia bagi acara lompat, Aaliyah mencatat jarak 42.6 meter (m) dan mengumpul 7,320 mata dalam tricks, meninggalkan pencabar terdekat dari Indonesia, Ni Ika Dewi Ambarawati yang sekadar meraih perak dalam tiga acara.

Prestasi Aaliyah turut diraikan apabila Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Chan Hon Jin menyampaikan cek bernilai RM145,000 di bawah Program Geran Padanan Sukan kepada Presiden Persekutuan Ski Air & Wakeboard Malaysia (MWWF), Phillipa Yoong.

Aaliyah yang bakal berlepas ke Recetto, Itali minggu depan untuk Kejohanan Dunia IWWF membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, manakala pemenang perak dan gangsa masing-masing menerima RM500 dan RM200.

“Kejohanan kali ini sangat menyeronokkan kerana lebih kepada cabaran satu lawan satu dengan Ika. Semua yang saya lakukan di sini adalah persediaan menghadapi Kejohanan Dunia di Itali.

“Saya akan ambil sedikit rehat sebelum ke Itali kerana saingan pasti lebih sengit di pentas dunia. Fokus saya 100 peratus pada kejohanan itu dan secara keseluruhan, prestasi saya di sini melebihi jangkaan,” kata Aaliyah yang baru-baru ini meraih empat emas serta tiga kali memecahkan rekod Asia lompat di Kejohanan Asia IWWF di Rabbit Lake, Bangkok.

Dominasi keluarga Yoong berterusan dalam kategori terbuka lelaki apabila Aiden meraih dua pingat emas, manakala Adam menyumbang satu perak dan satu gangsa.

Bakat muda, Aydan Saisi, 13, pula mencuri tumpuan apabila muncul peserta termuda dan satu-satunya wakil Malaysia ke final Wakeboard Bawah-14 lelaki, sebelum mencipta rekod hatrik mengekalkan pingat emas sejak 2023.

Anak bongsu daripada lima beradik itu kini giat berlatih dalam disiplin cable wakeboard di bawah kendalian juara dunia 13 kali, Julia Rick di Kemboja, selain menjalani latihan tambahan di Phuket dan Bangkok. KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |