KULIM – Seramai 64 pekerja warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan ditahan Jabatan Imigresen Kedah dalam serbuan melibatkan dua buah kilang yang beroperasi di daerah ini.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, kesemua warga asing pelbagai negara itu ditahan dalam Operasi Mahir dijalankan pihaknya bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah kilang bateri dengan pemeriksaan dilakukan terhadap kesemua 210 pekerja asing yang digajikan di situ.
“Daripada jumlah itu kita telah menahan seramai 34 orang terdiri daripada 16 lelaki Bangladesh, masing-masing seorang lelaki India dan Indonesia, seorang wanita Myanmar dan 15 lelaki warga China.
“Kesalahan yang dikesan adalah di bawah Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 berkaitan pelanggaran syarat pas atau permit yang dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen selain kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sini, hari ini.
Mohd. Ridzzuan berkata, pihaknya turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza, selain mengeluarkan Borang 29 iaitu saman kepada saksi terhadap seorang wanita tempatan untuk membantu siasatan.
Sementara itu, dalam serbuan berikutnya di sebuah kilang memproses bahan plastik, seramai 30 daripada 42 warga asing yang diperiksa telah ditahan kerana kesalahan sama.
Mohd Ridzzuan berkata, mereka yang ditangkap terdiri daripada l 12 lelaki dan lima wanita Myanmar, 12 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki China.
“Ketika serbuan terdapat beberapa pekerja cuba melarikan diri ke hutan dan kilang bersebelahan, namun usaha mereka gagal apabila anggota penguat kuasa telah mengepung kawasan terbabit.
“Operasi ini akan diteruskan bagi mengekang majikan yang mengambil pekerja warga asing tanpa kebenaran sah daripada terus menetap di negara ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE