PETALING JAYA – Usaha mengubah nasib ribuan bekas banduan bakal digerakkan secara besar-besaran apabila sehingga 3,000 individu berkenaan dirancang untuk diberi peluang kedua dalam pelbagai sektor pekerjaan.
Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata, inisiatif tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia sebagai langkah mengurangkan kadar jenayah berulang di negara ini.
Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi memberi peluang kepada bekas banduan memulakan hidup baharu, selain mengurangkan kebergantungan majikan terhadap tenaga kerja asing.
“Rakyat Malaysia patut diberi keutamaan kerana ramai bekas banduan tidak ada arah tuju selepas dibebaskan, jadi kami beri kesedaran awal dan tempat penempatan supaya mereka tidak terjebak semula,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, Pergak turut menjalankan program latihan industri seperti pertanian, pertukangan dan hospitaliti melalui projek agro dan tapak perkhemahan di Kampung Raja, Cameron Highlands yang kini siap 80 peratus.
“Kami bukan sekadar beri tempat tinggal, tapi latih mereka berdikari. Ada yang kami salurkan ke majikan melalui Jabatan Penjara, selain kami bawa ke projek pertanian untuk mereka bekerja dan belajar kemahiran baharu,” katanya.
Menurutnya, lebih 10,000 bekas banduan telah menyertai program anjuran pihaknya dengan pelbagai kisah kejayaan termasuk ada yang kini bekerja di luar negara, menjadi usahawan dan kembali ke pangkuan keluarga sejak 2019 lagi.
“Kami akui tidak semua berjaya, ada yang tergelincir semula, tetapi jumlahnya kecil kerana kesedaran awal yang kami bagi memberi kesan positif,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki tergamak terjebak dalam kegiatan penjualan ganja selama lima tahun bermula 2008 selepas tertarik dengan upah lumayan mencecah RM6,000 sehari.
Ada juga bekas banduan yang memilih ‘kerjaya’ haram itu kerana hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia selain mahu berdikari tanpa bergantung kepada ibu bapa. – KOSMO! ONLINE