2 pelajar perempuan tidak mengaku cederakan, kurung rakan dalam tandas

14 hours ago 4

SUNGAI PETANI – Dua pelajar perempuan tingkatan satu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan dan mengurung rakan mereka di dalam tandas sebuah sekolah di sini, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh berusia 13 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menyebabkan kecederaan kepada pelajar perempuan yang juga berusia 13 tahun di tandas blok tingkatan enam sebuah sekolah menengah di sini kira-kira pukul 6.40 petang, 14 Julai lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengurung mangsa sama di lokasi, masa dan tarikh sama dengan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 342 KK dan dibaca bersama 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Nor menawarkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap tertuduh, namun peguam, N. Nagaratnam memohon jaminan rendah berikutan dua anak guamnya itu masih bersekolah dan memberi kerjasama kepada polis.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta memerintahkan mereka tidak mengganggu mangsa.

Kes akan disebut semula pada 23 September depan.

Pada 19 Julai lalu, Kosmo! Online melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan satu ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki diikat menggunakan tali leher serta mulut ditutup dengan sapu tangan dalam tandas sebuah sekolah menengah di sini.

Pelajar perempuan terbabit kemudian dirawat di sebuah hospital kerana mengalami kecederaan ringan pada tangan dan kaki, selain trauma akibat kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |