
- Oleh KOSMO
- 17 Ogos 2025, 4:07 pm
BANDAR GAZA – Sekurang-kurangnya 1,760 rakyat Palestin terbunuh ketika mereka berpusu-pusu mendapatkan bantuan di seluruh Gaza sejak akhir Mei lalu, lapor portal berita Arab News semalam.
“Kami merekodkan 1,760 kematian sejak 27 Mei sehingga 13 Ogos lalu. Seramai 994 orang terbunuh di pusat pengagihan bantuan yang disokong Amerika Syarikat, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GFH), manakala 766 lagi di sepanjang pergerakan konvoi.
“Sebahagian besar kematian itu berpunca daripada Rejim Zionis,” kata Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak-Hak Asasi Manusia (OHCHR).
Angka tersebut dikemas kini selepas agensi pertahanan awam Gaza melaporkan seramai 38 orang terbunuh dalam tembakan Israel kelmarin, termasuk 12 orang yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan.
Ketua Turus Tentera Israel berkata pada Rabu lalu bahawa rancangan untuk mengalahkan Hamas dan membebaskan semua tebusan Israel di Gaza telah diluluskan.
Israel juga berhasrat untuk menguasai bandar Gaza dan kem pelarian berdekatan yang musnah akibat perang selama lebih 22 bulan. – AGENSI