1.74 juta individu terima manfaat mySalam sejak 2019

15 hours ago 7

PETALING JAYA – Seramai 1.74 individu telah menerima manfaat daripada Skim Perlindungan Takaful Nasional, mySalam sejak dilancarkan pada tahun 2019.

Ketua Skim Perlindungan mySalam, Syuhaib Ithnin berkata, manfaat yang disalurkan itu melibatkan tuntutan berjumlah RM1.25 bilion.

“Angka ini membuktikan komitmen berterusan dalam membantu rakyat yang memerlukan, khususnya golongan B40 yang menjadi sasaran utama skim ini.

“Selain manfaat tunai dan perlindungan kesihatan, skim ini turut menjadi pemangkin kepada kesedaran kewangan dan pengurusan risiko dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa mySalam telah menganjurkan Karnival 3K: Kewangan, Kesihatan dan Kebajikan di Samariang, Kuching sempena sambutan bulan kemerdekaan, hari ini.

Jelasnya, Karnival 3K Petra Jaya yang telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut Syuhaib, karnival bukan sahaja tentang memberi bantuan, tetapi juga memberi ilmu, akses dan peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup mereka secara holistik.

Malah, ia mencerminkan usaha berterusan kami untuk menyokong visi Kerajaan Madani dalam membina masyarakat yang lebih berdaya tahan, celik kewangan dan sihat dari segi fizikal serta mental.

“Selain itu, Kerajaan Madani telah menyediakan Baucar Perlindungan Tenang (PTV) bernilai RM30 kepada dua juta rakyat Malaysia yang layak dengan jumlah keseluruhannya bernilai lebih RM60 juta.

“Dengan segmen sasaran yang sama, karnival ini dimanfaatkan untuk mempromosikan penebusan PTV sebagai langkah untuk perlindungan yang lebih lengkap.

“Baucar ini boleh ditebus bermula 1 September 2025 untuk mendapatkan pelan perlindungan takaful yang sesuai,
merangkumi manfaat kematian sebagai nilai tambah kepada perlindungan mySalam sedia ada,” katanya.

Pada karnival itu juga, sebanyak 140 bakul makanan telah disumbangkan kepada keluarga asnaf terpilih.

“Sumbangan yang ditaja oleh Great Eastern Takaful, Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Mydin Kuching ini adalah lambang keprihatinan terhadap komuniti yang kurang berkemampuan.

“Inisiatif ini bukan sahaja memberi bantuan segera, tetapi juga menyemai nilai empati dan solidariti dalam kalangan masyarakat,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |