Zii Jia dedah pernah mahu bersara

8 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Selepas sekian lama memilih untuk berdiam diri, jaguh perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia akhirnya tampil mendedahkan pergolakan yang dilalui sepanjang tempoh paling sukar dalam kariernya sehingga pernah terfikir untuk menamatkan karier sebagai pemain badminton.

Bekas juara Seluruh England itu mengakui terlalu lama menyerahkan banyak urusan kehidupan dan karier kepada individu yang dipercayainya selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2022 kerana mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap latihan serta pertandingan.

Bagaimanapun, Zii Jia berkata, ketika bergelut dengan kecederaan, prestasi yang merudum dan tekanan mental, dia mula menyedari keadaan sebenar tidak seperti yang diharapkannya sehingga membuatkan dirinya berasa semakin tertekan.

“Saya berasa cemas, keliru dan benar-benar hilang arah. Saya mula sedar bahawa saya bukan sahaja berdepan kecederaan dan masalah prestasi, tetapi juga rasa tidak berdaya yang sudah lama terbina,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial sebentar tadi.

Menurut pemain berusia 28 tahun itu, dia kemudian mengumpulkan keberanian untuk mengambil semula kawalan terhadap kehidupan dan perjalanan kariernya kerana hanya mahu kembali menikmati badminton tanpa dibelenggu perkara lain di luar gelanggang.

“Apa yang saya mahukan sebenarnya sangat mudah. Saya mahu mengambil semula kawalan terhadap kehidupan dan karier saya. Saya mahu kembali kepada sesuatu yang lebih sederhana iaitu hanya bermain badminton,” jelasnya.

Zii Jia turut mengakui tempoh tersebut memberi tekanan emosi yang cukup berat sehingga menjejaskan fokus ketika latihan, malah ada ketika dia benar-benar mempertimbangkan untuk bersara daripada sukan yang telah membesarkan namanya.

“Saya tidak mahu menjadikan keadaan lebih buruk atau menyakiti sesiapa. Apa yang saya harapkan hanyalah supaya saya dapat kembali fokus di gelanggang dan perlahan-lahan membina semula kehidupan saya,” ujarnya.

Dalam masa sama, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong, rakan serta penaja yang terus berdiri di belakangnya meskipun dia mengakui dirinya sendiri pernah hilang keyakinan terhadap diri sendiri.

“Saya tidak tahu bagaimana masa depan saya, tetapi saya mahu semua tahu satu perkara. Saya tidak akan mudah mengalah. Tidak kira berapa banyak lagi saat sukar yang perlu saya lalui, saya akan terus berjuang sehingga hari saya benar-benar tidak mampu bermain lagi,” katanya. KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |