PETALING JAYA – XOX BHD (XOX) bakal tampil dengan dengan imej baharu yang bukan sekadar syarikat telekomunikasi tetapi sebagai sebuah kuasa digital yang akan membuka pelbagai aliran pendapatan baharu.
Pengarah Urusan XOX, Datuk Kenneth Vun berkata, transformasi itu juga bakal membentuk ekosistem gaya hidup menyeluruh merangkumi hartanah, teknologi kewangan (fintech), media digital dan e-dagang.
“Kami bukan sekadar berbicara mengenai perubahan tetapi kami sedang melaksanakan perubahan tersebut.
“XOX sedang berkembang menjadi sebuah kuasa digital iaitu sebuah syarikat yang dibina berasaskan data, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kewangan, bersedia untuk membentuk masa depan ekonomi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena kunjungan delegasi terhormat daripada 4U Institute Taiwan baru-baru ini.
Vun menjelaskan, transformasi tersebut berteraskan komitmen terhadap perkhidmatan pintar dan diperibadikan yang memperkayakan kehidupan harian, didorong oleh data, kecerdasan buatan dan teknologi kewangan.
“Transformasi bermula dengan minda dan di XOX, kami sedang membina ekosistem pintar yang dipacu oleh AI dan berasaskan keperluan sebenar manusia,” ujarnya.
Tambah beliau, transformasi XOX juga bukan sekadar mengenai teknologi dan ia berkaitan budaya organisasi.
Rangkaian XOX kini merangkumi lebih 20,000 ejen di seluruh negara.
Jelas beliau, ejen tersebut bertindak sebagai rakan niaga dan mereka adalah sebahagian daripada pelan perkembangan tersebut.
“Kami sedang membina sebuah platform yang membolehkan mereka berkembang, menjana pendapatan lebih tinggi dan maju bersama kami,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE