Warga Singapura bangga isi RON95 sambil tayang pasport

8 hours ago 4

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki didakwa warga Singapura mengisi petrol RON95 sambil mempamerkan pasport negara itu mengundang kecaman hebat dalam kalangan pengguna media sosial.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Threads oleh @Theblackspice, ia memaparkan individu tersebut mengangkat pasport sebelum kamera dihalakan ke pam minyak Premium 95.

Lebih mengundang perhatian apabila dia menulis kapsyen yag disifatkan sengaja memancing emosi rakyat Malaysia.

“Cara untuk membuat rakyat Malaysia marah sebagai warga Singapura. Langkah pertama, curi petrol mereka,” katanya.

Perkongsian itu mencetuskan kemarahan netizen yang menyifatkan perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar peraturan, malah berbangga kerana menyalahgunakan subsidi bahan api yang disediakan untuk rakyat negara ini.

Seorang pengguna Threads, @fries.kimchi menyindir tindakan lelaki itu yang didakwa sanggup mendapatkan petrol bersubsidi di Malaysia kerana tidak mampu membeli bahan api pada harga lebih mahal di negara sendiri.

“Nak tahu bagaimana (untuk) mengenali warga Singapura yang miskin? Langkah pertama, mereka tidak mampu membeli petrol di negara sendiri,” katanya.

Sementara itu, pengguna @Mystqueaurora menggesa pihak berkuasa Singapura menyiasat identiti individu di sebalik akaun berkenaan kerana bimbang tindakannya boleh menjejaskan hubungan baik rakyat kedua-dua negara.

“Boleh pihak Polis Singapura menyiasat siapakah individu di sebalik akaun ini? Perbuatannya hanya mencetuskan ketegangan yang tidak perlu antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, @Loveqsty_, berkata, dia tidak berasa marah dengan tindakan tersebut, sebaliknya menganggap perbuatan lelaki terbabit hanya memalukan diri sendiri.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya langsung tidak marah sebaliknya bangga kerana apa yang saya lihat hanyalah seseorang dari negara kononnya berkelas dunia pertama sedang mempamerkan kebodohan sendiri dan menunjukkan betapa dia tidak berkemampuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |