Wanita UMNO desak Tengku Zafrul letak jawatan menteri

1 day ago 5

PETALING JAYA – Wanita UMNO menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengumumkan keputusan meninggalkan UMNO dan mahu menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari menegaskan bahawa Tengku Zafrul wajib meletakkan jawatan sebagai menteri serta-merta kerana jawatan tersebut adalah milik UMNO, diberikan atas kuota parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jawatan itu bukan milik individu, sebaliknya adalah amanah yang diperuntukkan kepada UMNO. Ia mesti dikembalikan dan diserahkan kepada pemimpin yang setia serta berprinsip,” tegasnya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Rosni, Wanita UMNO turut memberi amaran bahawa penerimaan mana-mana bekas pemimpin UMNO oleh parti komponen Kerajaan Perpaduan tanpa rundingan bersama boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap semangat muafakat yang menjadi asas pembentukan kerajaan tersebut.

“Ia bukan sahaja bakal mencetuskan ketegangan antara parti, malah berpotensi menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan itu sendiri,” katanya.

Tambah beliau, kesetiaan kepada parti merupakan asas utama perjuangan, dan tindakan lompat parti sambil terus memegang jawatan yang diperuntukkan kepada UMNO adalah tidak beretika dan tidak bermaruah.

“UMNO bukan wadah yang boleh diperalatkan demi kepentingan peribadi. Kesetiaan kepada parti adalah asas utama perjuangan.

“Tindakan lompat parti sambil terus memegang jawatan yang diperuntukkan kepada UMNO merupakan satu tindakan yang tidak beretika, tidak bermaruah, dan sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengumumkan meletak jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta keahliannya dalam parti itu.

Beliau menerusi satu kenyataan memaklumkan sudah menghantar surat peletakan jawatan itu kepada pucuk pimpinan UMNO. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |