Wanita nekad cerai, terkejut rupanya suami sudah ada cucu

17 hours ago 6

IMPIAN seorang wanita untuk membina kebahagiaan bersama lelaki pilihan hati berakhir dengan perpisahan selepas penipuan status oleh bekas suaminya terbongkar.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Amira itu menyangka bekas suaminya seorang duda, sebelum mendapati lelaki tersebut sebenarnya masih beristeri dan sudah pun mempunyai cucu selepas dua tahun mereka berkahwin.

Menurut Amira, kebenaran pahit itu terbongkar sewaktu dia sedang sarat mengandungkan anak sulung mereka selepas didatangi oleh seorang wanita lain ketika berada di hospital berkenaan.

“Masa itu, saya datang ke hospital untuk buat check up kesihatan, tiba-tiba ada seorang wanita datang dekat saya.

“Wanita itu kemudiannya memaklumkan kepada saya bahawa bekas suami telah menipu saya.

“Dia sebenarnya masih beristeri dan juga sudah mempunyai cucu. Saya sangat terkejut sebab dia (bekas suami) beritahu saya bahawa dia seorang duda bukan suami orang,” ujarnya kepada K-Wanita ketika mengimbau kembali detik hitam tersebut.

Wanita berusia 30-an itu berkata, perkahwinan tersebut dibina atas dasar kerelaan dan cinta bersama, di mana fasa awal rumah tangga mereka sebenarnya berjalan dengan penuh keharmonian tanpa sebarang perselisihan faham serius.

Bekas suaminya juga disifatkan sebagai seorang lelaki yang penyabar serta sentiasa mengalah sekiranya berlaku perbezaan pendapat.

Disebabkan terkesan dengan penipuan yang terbongkar itu, Amira mengambil keputusan tegas untuk tidak meneruskan perkahwinan berkenaan.

Dia memikirkan sudut emosi serta meletakkan dirinya di tempat isteri pertama, sebelum nekad berpisah secara baik selepas selamat melahirkan anak.

“Memandangkan saya sedang sarat mengandung pada waktu itu, bekas suami kata, dia hanya akan melepaskan saya apabila anak kami dilahirkan.

“Dia mahu bertanggungjawab sepenuhnya menjaga kebajikan saya sepanjang tempoh kehamilan tersebut,” jelasnya.

Amira akur dengan keputusan itu demi keselamatan diri serta bayi dalam kandungan.

Pendirian Amira untuk berpisah selepas bersalin turut mendapat sokongan penuh daripada ibunya yang tidak mahu terus bersubahat dalam perhubungan dibina atas dasar penipuan terhadap isteri pertama itu.

Meskipun bekas suaminya bertanggungjawab menyediakan segala keperluan serta kelengkapan berpantang, namun hubungan mereka tetap berakhir.

Katanya, detik terakhir mereka berjumpa adalah semasa suaminya menghantar Amira dan bayi pulang dari hospital.

Selepas habis pantang, perceraian mereka terus dimuktamatkan di Mahkamah Syariah secara baik tanpa sebarang bantahan.

Mengimbas fasa awal kehidupan sebagai ibu tunggal, Amira mengakui, dia berdepan cabaran yang amat perit, terutamanya dari sudut kewangan untuk membesarkan anak masih kecil.

“Cabaran terbesar ketika baru berpisah dulu adalah sewaktu anak masih bayi.

“Saya hidup serba kekurangan dan anak dijaga oleh ibu serta kakak kerana saya tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menghantar anak kepada pengasuh,” kongsinya.

Tambahnya, biarpun situasi itu sangat menguji ketahanan mental dan fizikal, namun Amira memilih untuk tidak meratapi nasib, sebaliknya fokus memandang ke hadapan demi masa depan anaknya.

“Pada awalnya memang sukar, namun saya memilih untuk kekal positif dan terus maju ke depan. Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi,” katanya yang kini berjaya bangkit dan membina kehidupan baharu yang lebih stabil.

Menjadikan dugaan itu sebagai satu hikmah terbesar dalam hidupnya, Amira turut menasihati wanita di luar sana supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan janji manis lelaki, sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

Jelasnya, ketelusan dan kejujuran adalah asas paling utama dalam mengekalkan keharmonian sesuatu hubungan.

“Penderitaan ini mengajar saya menjadi seorang wanita dan ibu yang lebih berani serta berdikari.

“Walaupun hidup tanpa seorang suami di sisi, namun saya bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sentiasa menjadi benteng kekuatan saya.

“Apa yang penting sekarang adalah membesarkan anak saya dengan penuh kasih sayang dan memastikan masa depannya terjamin tanpa perlu dibayangi kisah silam,” katanya sebelum menutup bicara.

Read Entire Article
Pertanian | | | |