MELAKA – Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memakan ubat untuk menggugurkan kandungannya yang berusia lima bulan, minggu lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman membuat keputusan itu selepas tertuduh, Norazzeti Azima Awang Long, 21, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas petuduhan, tertuduh didakwa mengambil ubat misoprostol sebelum kelahiran bayi dengan niat untuk menghalang kelahiran bayi tersebut daripada dilahirkan dalam keadaan hidup.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam di dalam bilik di sebuah rumah bernombor, Imperio Residence Tower A dalam daerah Melaka Tengah pada 12 Mei 2025.
Mengikut fakta kes, wanita itu telah pergi ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami bengkak susu dan mendakwa dia mengalami keguguran.
Bagaimanapun, tertuduh yang masih bujang itu kemudian mengaku mengambil ubat menggugurkan kandungan yang dibeli melalui aplikasi Tiktok pada 12 Mei lalu dan menyerahkan janin kepada rakannya untuk ditanam.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan hukuman pemenjaraan yang setimpal dengan mengambil kira isu-isu sosial yang berleluasa ketika ini.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili tertuduh merayu hukuman pemenjaran dan denda minimum dengan alasan anak guamnya bekerja di sebuah kafe dengan pendapatan RM1,800 sebulan dan menanggung bapa yang berusia 76 tahun serta dua adik yang masih bersekolah.
Katanya, tertuduh bertindak menggugurkan kandungannya yang berusia lima bulan selepas didesak teman lelaki berulang kali.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan bermula dari tarikh ditangkap 19 Mei 2025. – KOSMO! ONLINE