‘Wakeel sayang, tiada kata mampu menampung rindu ini’

1 day ago 13

PETALING JAYA – Sempena ulang tahun kelahiran yang ke-19 putera kesayangannya, Pengiran Muda Abdul Wakeel, bekas personaliti televisyen Azrinaz Mazhar Hakim mengakui sentiasa mengingati tarikh istimewa tersebut walaupun sudah lama tidak bersua.

Pada masa sama, Azrinaz, 46, tidak ketinggalan meluahkan kerinduan terutama mengenangkan telatah serta ragam puteranya.

“Tidak, ibu tak pernah lupa hari lahirmu. Mungkinkah seorang ibu benar-benar melupakan kesakitan yang ditanggungnya saat melahirkan?

“Abang Wakeel sayang, tiada kata yang cukup untuk menampung betapa dalamnya rasa rindu ini terhadapmu.

“Tiada jam yang mampu mengira setiap detik yang ibu habiskan membayangkan senyumanmu, suaramu, irama tawamu yang pernah bergema dalam sebuah rumah yang kini terlalu sunyi,” katanya dalam hantaran Instagram.

Selain itu, bekas wartawan penyiaran TV3 itu mengakui sangat berbangga dengan pencapaian Wakeel dan akan meraikan setiap kejayaan tanpa anak di sisi.

“Kita seperti bintang-bintang kecil, dipisahkan terlalu awal, belum cukup matang untuk benar-benar mengenal bentuk sebuah perpisahan.

“Namun ibu merasainya dalam setiap hela nafas dan kesunyian itu ibu bawa bersama setiap hari sejak itu.

“Ibu menyaksikan tahun-tahun berlalu dari kejauhan, tidak pernah cukup dekat untuk berbisik, betapa bangganya ibu terhadapmu, setiap langkah yang ibu dengar tentangmu, ibu raikan walau hanya dalam bayang-bayang yang senyap,” jelasnya.

Malah, Azrinaz juga menegaskan akan sentiasa menunggu kehadiran anak-anaknya dengan hati terbuka.

“Ibu tidak mampu mengubah apa yang telah hilang, tetapi ibu tetap menyimpan harapan bahawa hidup ini mungkin menghadiahkan kita satu bab yang lebih lembut.

“Di mana suara ibu bukan sekadar kenangan, tetapi sesuatu yang benar, yang boleh kau capai jika suatu hari kau mahu.

“Ibu akan terus menunggu, dengan tangan yang sentiasa terbuka dan hati yang tidak pernah walau sesaat berhenti menyayangi dan merindui kamu. Selamat Hari Lahir ke-19, sayang,” tuturnya.

Azrinaz sebelum ini pernah bergelar menjadi isteri kedua Sultan Brunei pada tahun 2005, namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama lima tahun.

Selain Wakeel, Azrinaz mempunyai seorang lagi cahaya mata bersama Sultan Brunei iaitu Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 17.

Azrinaz kembali bergelar isteri selepas diijabkabulkan dengan Firoz Khan Abdul Hamid yang juga bekas rakan sekerjanya di TV3 pada 1 Mei 2018.

Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Areesya Malaykha, 6 dan Atheera Medinah, 4. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |