[VIDEO] Syed Saddiq kekal bebas 4 pertuduhan jenayah dana Armada

3 hours ago 2

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kekal dibebaskan atas empat pertuduhan berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Persekutuan di sini sebentar tadi.

Keputusan majoriti 2-1 dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama dua lagi Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Hakim Che Mohd. Ruzima dan Hakim Collin membentuk majoriti, manakala Hakim Abu Bakar menentang dengan menyampaikan keputusan berbeza.

Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan selaku perayu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan.

Sementara Syed Saddiq, 33, selaku responden diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Terdahulu semasa prosiding, suasana penuh debaran menyelubungi mahkamah apabila panel hakim tertinggi itu mengeluarkan berbeza pendapat dalam penghakiman mereka.

Ia yang mana Hakim Abu Bakar dan Hakim Che Mohd. Ruzima mengemukakan pandangan yang bertentangan terhadap pertuduhan Syed Saddiq sekali gus meletakkan tanggungjawab membuat keputusan muktamad kepada Hakim Collin Lawrence.

Usai itu, pendakwaan yang diwakili Wan Shaharuddin kemudian memberikan respon yang diselitkan dengan sedikit jenaka dengan berkata, “Saya nak pergi tandas,” sebelum Hakim Abu Bakar mengulas bahawa pihak pendakwaan ‘mengekalkan suasana debaran’ itu.

Peguam Hisyam Teh kemudian bersetuju untuk berehat seketika, menyebabkan panel hakim menangguhkan prosiding selama 15 minit sebelum bersidang semula.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bekas Presiden Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Sebelum ini, pihak pendakwaan telah memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan tersebut pada 25 Jun lalu.

Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas terhadap keempat-empat pertuduhan menerusi keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Ia selepas mahkamah itu membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Untuk info, Syed Saddiq kini merupakan tunang kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah yang mana mereka bertunang pada 28 Mac lalu.

Syed Saddiq berkata, ikatan antara mereka berdua tercetus atas kasih sayang terhadap permata hati Bella, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang diharap dapat menerima kehadirannya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |