PETALING JAYA – Sebuah rumah lengkap dengan loteng, kolam ikan dan penyaman udara antara binaan tanpa kebenaran yang dikesan didirikan di kawasan tempat letak kenderaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu 2, Sungai Petani, Kedah.
Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah berkata, penemuan tersebut dibuat dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasaan yang dilaksanakan pada 14 Julai lalu.
“Kesalahan paling serius yang kami temukan adalah apabila bekalan elektrik disambung dari tingkat empat ke sebuah rumah batu yang dibina secara kekal di kawasan parkir.
“Binaan itu mempunyai loteng, kolam ikan dan dijadikan rumah kediaman, sedangkan kawasan parkir merupakan kemudahan awam serta bukan hak milik individu,” katanya dalam hantaran di TikTok.
Dalam operasi sama, pihaknya turut menemukan beberapa bangsal berbumbung dan struktur kekal yang dibina di petak parkir untuk kegunaan persendirian.
Susulan itu, Bahagian Perumahan SUK Kedah telah menjalankan operasi penguatkuasaan semalam dengan melibatkan perobohan binaan tanpa kebenaran seperti garaj kereta dan stor.
“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan kerana terdapat binaan tanpa kebenaran di atas tapak letak kereta awam yang telah disalahguna.
“Selain itu, binaan tersebut juga telah menghalang kerja-kerja penyelenggaraan dan penyampaian perkhidmatan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, Bahagian Perumahan SUK Kedah memaklumkan, PPR Paya Nahu 2 dibina pada 2003 dan mula ditawarkan kepada penduduk pada tahun berikutnya dengan keseluruhan 22 blok merangkumi 1,456 unit kediaman.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,102 unit diduduki secara rasmi, manakala 159 unit dikenal pasti diduduki tanpa kebenaran atau tidak didaftarkan.
Pada masa sama, jumlah tunggakan sewa semasa di PPR berkenaan mencecah RM648,907 selepas beberapa siri pembaharuan perjanjian dilaksanakan.
Sebelum ini, jumlah keseluruhan tunggakan sewa di kawasan berkenaan dilaporkan pernah melebihi RM30 juta.
“Bahagian Perumahan menyeru penghuni supaya membayar sewa secara konsisten dan menjelaskan tunggakan bagi membolehkan hasil kutipan digunakan untuk kerja penyelenggaraan serta pembaikan kemudahan di PPR berkenaan.
“Pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap penghuni yang melanggar syarat penyewaan atau gagal mematuhi notis dikeluarkan bagi memastikan kawasan tersebut kekal teratur, selamat dan kondusif,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@perumahan.kedah 𝗦𝗨𝗡𝗚𝗔𝗜 𝗣𝗘𝗧𝗔𝗡𝗜, 𝟭𝟰 𝗝𝗨𝗟𝗔𝗜 𝟮𝟬𝟮𝟲 1(𝗦𝗘𝗟𝗔𝗦𝗔) – Bahagian Perumahan telah melaksanakan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan di PPR Paya Nahu 2 bagi mengambil tindakan terhadap penghuni yang mendirikan binaan tanpa kebenaran di kawasan tempat letak kenderaan serta ruang-ruang kosong di kaki lima bangunan. Dalam operasi tersebut, notis telah dikeluarkan kepada penghuni yang didapati melakukan pelanggaran syarat penyewaan dan peraturan yang berkuat kuasa. Notis selama 7 hari telah diberikan kepada penghuni yang membina bangsal di kawasan parkir untuk tujuan meletakkan kenderaan supaya merobohkan binaan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan. Manakala, notis selama 30 hari turut dikeluarkan kepada penghuni yang menjadikan ruang kosong di kaki lima sebagai stor simpanan atau dijadikan ruang tambahan seperti rumah tanpa kebenaran. Bahagian Perumahan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penghuni yang ingkar atau gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan diambil bagi memastikan kawasan PPR sentiasa teratur, selamat dan kondusif untuk didiami oleh semua penghuni. Kerjasama daripada semua penghuni dalam mematuhi syarat penyewaan serta peraturan yang ditetapkan amatlah dihargai demi kesejahteraan komuniti perumahan. #kedahsejahteranikmatuntuksemua #rancanganperumahanawam #bahagianperumahan ♬ Electric Rooftop – Snaggle Snod
1 hour ago
3
















































