SHAH ALAM – “Mereka ada duit, tetapi kita ada Allah.”
Ungkapan itu diluahkan pengawal keselamatan, Ahmad Shamsuri Zailani, 32, selepas Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman terhadap bekas majikannya yang didapati bersalah mengugut, mencederakan dan menghina dirinya serta seorang lagi rakan sekerja kerana berpuasa pada 2021.
Menurutnya, keputusan mahkamah itu membuktikan kebenaran akhirnya berpihak kepadanya dan rakan, Mohd. Azminizam Zulkepli, 49, walaupun terpaksa melalui episod yang meninggalkan trauma sepanjang hayat.
“Alhamdulillah, hakim pun bagi keputusan memang kebenaran itu berlaku, kecederaan ada dan saya bersyukur apa keputusan dapat hari ini.
“Jadi, saya nak ingatkan di luar sana yang mana kerja dalam bidang ini, kita hanya mencari rezeki yang halal. Kalau terkena begini, jangan takut buat laporan. Memang mereka ada duit, tetapi kita ada Allah. Insya-Allah,” katanya ketika ditemui di lobi mahkamah di sini hari ini.
Ahmad Shamsuri berkata, walaupun kejadian itu masih menghantuinya, dia tetap meneruskan kerjaya sebagai pengawal keselamatan kerana itulah sumber rezekinya.
“Saya kerja dengan mereka selama tiga tahun. Trauma itu masih ada dalam ingatan, tetapi saya kena kuatkan semangat dan teruskan hidup,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang ahli perniagaan dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini yang menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman atas tiga pertuduhan mengugut, mencederakan serta menghina dua bekas pengawal peribadinya kerana berpuasa pada 2021.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim terhadap Chung Chee Yang, 48, dengan mengarahkan hukuman penjara bagi semua kesalahan berkenaan dijalankan secara serentak bermula hari ini.
Dalam penghakimannya, Shamsulbahri menyatakan kesalahan perayu adalah serius dengan mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada perayu dan mesej jelas kepada masyarakat bahawa mahkamah tidak berkompromi dengan kesalahan begini.
“Tindakan mendera dan melakukan kekasaran kepada pekerja sendiri yang datang mencari nafkah untuk kelangsungan hidup wajar dibanteras sepenuhnya agar tiada lagi kejadian serupa ini berlaku di masa hadapan.
“Perbuatan menghina tuhan agama lain adalah satu perbuatan hina dan tidak wajar diucapkan oleh orang yang dikatakan banyak berbakti kepada masyarakat berbilang kaum,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1












![[VIDEO] Dah tampal notis tutup KKM, rider masih ‘pickup’ makanan?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-29-at-10.27.44-AM.jpeg)



































