[VIDEO] Janji hidup lebih baik, bekas guru tadika didakwa terima hasil haram

14 hours ago 6

SHAH ALAM – Seorang bekas guru tadika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM133,550 serta barangan kemas hasil aktiviti haram, tahun lalu.

Tertuduh, A. Venmani, 50, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.

Mengikut kesemua pertuduhan, Venmani didakwa menerima wang tunai berjumlah RM133,550 selain dua utas rantai leher dan sebentuk loket emas daripada seorang wanita berusia 39 tahun yang merupakan hasil aktiviti haram.

Wang dan barangan kemas itu didakwa diserahkan selepas wanita terbabit mempercayai tertuduh akan membawa anak perempuannya berhijrah ke New Zealand bagi menjamin masa depan yang lebih baik.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua cawangan bank serta sebuah kedai emas sekitar Bandar Baru Ampang, Kota Kemuning dan Taman Sri Muda antara 1 Januari hingga 24 Februari 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakim Wan Ahmad Jaafar mencadangkan jaminan RM30, 000 bagi setiap pertuduhan dan syarat tambahan lain iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran serta tidak menganggu saksi pendakwaan.

Peguam Farith Emier Farhan Morni bagaimanapun merayu jaminan paling minima susulan anak guamnya itu telah kehilangan kerja susulan pertuduhan lain di mahkamah lain pada Mac lalu.

“Justeru, dia tiada sumber pendapatan dan jumlah jaminan yang ditawarkan itu di luar kemampuan mereka.

“Jaminan bagi kes sebelum ini sebanyak RM30,000 dengan wang simpanan tertuduh dan suami telah habis. Kini mereka hanya bergantung kepada bantuan ahli keluarga lain dan hanya membawa RM10,000,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 10 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

Sementara itu, tinjauan mendapati tertuduh menangis sepanjang diiringi anggota polis dari lobi menuju ke galeri Mahkamah Sesyen. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |