[VIDEO] ‘Cikgu Anwar’ pesan jaga amanah, sentiasa baca buku

9 hours ago 5

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian apabila kembali menjadi ‘Cikgu Anwar’ sewaktu melayani murid-murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 5(1) selepas lawatan rasmi delegasi Kyrgyzstan, semalam.

Menerusi video dikongsikan pada Facebook beliau, Anwar memberikan pesanan dan nasihat kepada murid-murid tersebut selain ada yang bertanya soalan kepada beliau.

“Sempat luangkan waktu melayan anak-anak dari SK Putrajaya Presint 5(1) usai lawatan rasmi delegasi Kyrgyzstan. Sempat juga mereka mengadu kerosakan kelengkapan di sekolah.

“Kembali jadi ‘Cikgu Anwar’ seketika waktu mengajar anak-anak ini mengenai hubungan Malaysia dengan Kyrgyzstan. Saya juga pesan supaya mereka menjaga amanah, sentiasa baca buku, dengar kata ibu bapa dan jangan tinggal solat.

“Moga kalian semua menjadi anak yang soleh dan solehah, serta berbakti pada negara apabila dewasa kelak, insya-Allah,” katanya pada hantaran berkenaan.

Menerusi video dikongsikan, seorang murid bertanya soalan kepada beliau iaitu peranan generasi muda khususnya sebagai pelajar sekolah dalam menyokong usaha diplomasi dan kerjasama antarabangsa.

Menerusi jawapannya, Anwar turut menyentuh mengenai kepentingan menjaga tandas di sekolah serta menerangkan mengenai negara Kyrgyzstan.

“Pertama, tandas jangan bagi rosak. jaga kawal supaya jangan rosakkan barang-barang. Ini barang amanah.

“Kita rosakkan tu menyalahkan (salah) tanggungjawab. Kita memelihara hak orang, amanah. Bagaimana kita boleh rosakkan,” katanya.

Sementara itu, Anwar menjelaskan kepada murid-murid tersebut bahawa Republik Kyrgyzstan terletak di Asia Tengah yang mana dahulu dikuasai oleh komunis selama 70 tahun.

“Agama (Islam) tak boleh. Alhamdulillah Allah Maha Kaya, akhirnya merdeka, Islam kembali. Jadi kita nak dagang dgn dia, nak beli barang dia, kita belajar budaya dia,” katanya.

Semalam, Kosmo! melaporkan, Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Ini merupakan lawatan pertama Zhaparov ke Malaysia sejak memegang jawatan berkenaan pada Januari 2021.

Lawatan itu juga sebagai membalas lawatan Perdana Menteri ke Kyrgyz pada Mei 2024. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |