BARCELONA – Juara dunia empat kali, Max Verstappen seolah-olah sudah mengetepikan impiannya untuk memburu gelaran dunia Formula Satu (F1) buat kali kelima berturut-turut meskipun masih kekal berada dalam kelompok teratas carta keseluruhan.
Pemandu Red Bull itu dilihat tidak gembira dengan potensi jentera selepas sukar untuk membantunya berada di atas podium sekali gus membuka ruang kepada McLaren mencipta kemenangan.
Verstappen ketika ini ketinggalan 25 mata di belakang pendahulu, Oscar Piastri dari McLaren selepas tujuh perlumbaan apabila hanya mampu menang dua Grand Prix (GP) musim ini.
Rakan sepasukan Piastri, Lando Norris turut mencatat dua kemenangan dan ketinggalan tiga mata di belakang pelumba Australia tersebut.
“Saya hanya cuba lakukan yang terbaik dan berseronok di litar. Saya lebih bersemangat jika tahu kami (Red Bull) akan sangat laju.
“Tahun ini ada beberapa perkara positif, tetapi juga negatif. Dalam beberapa perlumbaan, kami jauh ketinggalan dari segi kelajuan dan itu tidak menyeronokkan.
“Saya hanya hadir ke litar dan lakukan yang terbaik setiap hujung minggu. Saya tidak perlu beri 100 peratus sekiranya kereta ini hanya mampu berada di kedudukan kelima. Jika ia mampu menang, saya akan buru kemenangan,”katanya.
Piastri dengan empat kemenangan musim ini, menolak dakwaan Verstappen sudah terkeluar daripada perebutan gelaran dunia.
“Saya tidak fikir dia (Verstappen) boleh diketepikan. Jurang mata masih kecil dan mereka sebenarnya menunjukkan daya saing yang baik di beberapa litar.
“Ada hujung minggu kami lebih kuat, tetapi Red Bull juga sedang mempertingkatkan prestasi kereta mereka. Jadi, saya rasa Max (Verstappen) masih dalam pertarungan ini,” ujar Piastri.
McLaren mendahului kejuaraan pengeluar dengan kelebihan 172 mata, selepas memenangi enam daripada lapan perlumbaan setakat ini. – AGENSI