KAJIAN yang dijalankan oleh penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendapati pemantauan berterusan terhadap kualiti air dan status eutrofikasi tasik kampus amat penting bagi memastikan kelestarian ekosistem serta keberkesanan fungsi tebatan banjir dapat dikekalkan secara mampan.
Kajian yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Rafidah Hamdan dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) itu memberi tumpuan kepada penilaian kualiti air dan status trofik beberapa tasik di kampus itu menggunakan pendekatan saintifik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, eutrofikasi merupakan antara cabaran utama dalam pengurusan tasik dan sumber air apabila berlaku pengumpulan nutrien berlebihan seperti nitrogen dan fosforus yang boleh merangsang pertumbuhan alga serta tumbuhan akuatik secara tidak terkawal.
“Dapatan kajian menunjukkan bahawa tasik-tasik yang dinilai masih berada pada tahap kualiti air yang boleh diterima.
“Namun, terdapat petunjuk berlakunya pengayaan nutrien yang memerlukan perhatian dan pemantauan berterusan bagi memastikan keseimbangan ekosistem dapat dikekalkan,” katanya.
Rafidah berkata demikian ketika mengulas hasil penyelidikan berkaitan pengurusan sumber air dan kelestarian tasik yang dilaksanakan di kampus UTHM.
Kajian tersebut menggunakan kaedah Water Quality Index (WQI) bagi menilai status keseluruhan kualiti air serta Carlson Trophic State Index (CTSI) untuk menentukan tahap eutrofikasi berdasarkan beberapa parameter saintifik yang berkaitan produktiviti perairan.
TASIK di kampus memainkan peranan besar yang bukan sekadar elemen landskap tetapi turut berfungsi sebagai komponen penting dalam sistem pengurusan air hujan serta kawalan banjir.Menurutnya, hasil kajian turut menunjukkan bahawa kemasukan nutrien ke dalam sistem tasik dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk aktiviti pembangunan, sistem saliran, air larian permukaan dan bahan organik yang dibawa masuk ke kawasan tadahan.
“Fenomena ini bukan sahaja boleh memberi kesan kepada kualiti air, malah berpotensi menjejaskan fungsi tasik sebagai sistem tadahan dan tebatan banjir sekiranya tidak diurus dengan baik.
“Justeru, pendekatan pengurusan yang menyeluruh amat diperlukan bagi memastikan fungsi tasik terus terpelihara,” katanya.
Rafidah menjelaskan bahawa tasik-tasik di kampus memainkan peranan yang lebih besar daripada sekadar elemen landskap dan rekreasi kerana turut berfungsi sebagai komponen penting dalam sistem pengurusan air hujan serta kawalan banjir.
Sehubungan itu, pasukan penyelidik turut menjalankan inventori sumber pencemaran bagi mengenal pasti faktor-faktor yang menyumbang kemasukan nutrien ke dalam sistem perairan kampus. Dapatan tersebut diharap dapat membantu pihak universiti merangka strategi pengurusan yang lebih berkesan termasuk pelaksanaan program pemantauan berkala, pengurusan landskap yang lestari, kawalan air larian permukaan dan penyelenggaraan sistem saliran secara berterusan.
Dalam pada itu, usaha UTHM dalam memperkukuh pengurusan sumber air dan kelestarian alam sekitar turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila kampus universiti ini diiktiraf sebagai tapak demonstrasi (demo site) oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menerusi inisiatif berkaitan pengurusan sumber air dan pembangunan lestari.
“Penyelidikan seperti ini bukan sekadar mengenal pasti cabaran yang wujud tetapi turut menyediakan asas saintifik bagi membantu pihak universiti membuat keputusan yang lebih tepat dalam pengurusan sumber air dan pemeliharaan alam sekitar kampus.
“Melalui kerjasama antara penyelidik, pengurusan universiti dan warga kampus, UTHM berpotensi menjadi model kampus lestari yang mengutamakan keseimbangan antara pembangunan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti,” ujarnya.
Kajian tersebut selaras dengan komitmen UTHM untuk terus memperkukuh agenda kelestarian universiti menerusi penyelidikan berimpak tinggi yang menyokong pengurusan sumber semula jadi secara mampan di peringkat nasional dan global.

3 hours ago
1





![[VIDEO] Syed Saddiq kekal bebas 4 pertuduhan jenayah dana Armada](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/SYED-SADDIQ-2.jpeg?v=1783911549)


![[VIDEO] Kepada Allah saya berserah – Syed Saddiq](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/SYED-SADDIQ-MAHKAMAH-KEPUTUSAN.jpeg)






![[VIDEO] Onn Hafiz jadi MB Johor untuk penggal kedua](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-12-at-4.56.08-PM.jpeg)






























