PETALING JAYA – Tawaran melanjutkan pengajian di antara universiti terbaik dunia bukan sekadar pengiktirafan peribadi, malah dilihat mampu menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Pengasas platform padanan jodoh patuh syariah, Baituljannah, Dr. Wan Hasifi Amin Wan Zaidon berkata, beliau menerima tawaran mengikuti program Sarjana Keusahawanan (MSt in Entrepreneurship) di University of Cambridge, United Kingdom bagi sesi kemasukan September depan.
Menurut beliau, program tersebut merupakan antara program sarjana paling kompetitif di dunia dengan jumlah pengambilan pelajar yang terhad setiap tahun.
Katanya, peluang mengikuti pengajian berkenaan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membawa pulang ilmu, pengalaman serta rangkaian antarabangsa untuk membantu melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.
“Hasrat saya bukan sekadar menambah ilmu, tetapi berkongsi pengetahuan yang diperoleh untuk membangunkan perusahaan berimpak tinggi yang mampu menjana peluang pekerjaan berkualiti serta menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Hasifi berkata, sebagai sebahagian daripada syarat kemasukan, beliau menduduki peperiksaan Graduate Management Admission Test (GMAT) dan memperoleh skor 675, sekali gus meletakkan beliau dalam kelompok empat peratus calon terbaik dunia.
Menurutnya, beliau memulakan kerjaya sebagai doktor perubatan sebelum memilih bidang keusahawanan sebagai medium menyelesaikan pelbagai cabaran masyarakat secara lebih meluas.
Dalam dunia keusahawanan, Wan Hasifi mengasaskan Baituljannah yang kini mempunyai lebih 1.3 juta pengguna berdaftar dan membantu lebih 70,000 pasangan mendirikan rumah tangga.
Beliau juga merupakan pengasas bersama Terapeas, aplikasi sokongan kesihatan mental yang menghubungkan pengguna dengan kaunselor, ahli psikologi klinikal dan pakar psikiatri berlesen, sekali gus dimanfaatkan hampir 10,000 pengguna.
Wan Hasifi berkata, ilmu yang diperoleh di Cambridge kelak akan dimanfaatkan untuk memperkukuh pembangunan perusahaan yang mengutamakan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Dalam pada itu, beliau memaklumkan masih belum memperoleh sebarang penajaan bagi membiayai yuran pengajian program sarjana berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berharap badan korporat, yayasan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta dapat mempertimbangkan penajaan agar peluang menimba ilmu di University of Cambridge dapat dimanfaatkan demi pembangunan keusahawanan negara.-KOSMO! ONLINE

7 hours ago
4









![[VIDEO] Tikam pelajar: Bunyi orang jerit, wisel ingatkan kebakaran – Saksi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-06-at-5.15.22-PM.jpeg)






























![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)








![[VIDEO] 5 makanan perlu dielakkan di bazar Ramadan, air manis ‘no.1’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-09-at-6.45.16-PM.jpeg)