Untung bersih CAB naik 31 peratus

1 day ago 19

PETALING JAYA – Syarikat pemprosesan makanan serta penternakan ayam dan itik, CAB Cakaran Corporation Berhad (CAB) melaporkan peningkatan 30.8 peratus dalam untung bersih kepada RM19.75 juta bagi suku tahun kedua berakhir 31 Mac 2025.

Ini di sebalik penurunan marginal sebanyak 0.2 peratus dalam hasil kepada RM573.72 juta.

Pada peringkat operasi, bahagian ayam dan itik mencapai keuntungan sebanyak 48.6 peratus lebih tinggi, sebahagian besarnya disebabkan oleh pengurangan 11 peratus dalam harga makanan ternakan.

Ia juga menikmati harga jualan purata lebih tinggi bagi ayam pedaging dan anak ayam, masing-masing sebanyak enam peratus dan empat peratus.

Perolehan sesaham berada pada 2.82 sen untuk tempoh tersebut, daripada 2.15 sen sebelumnya.

Pada asas enam bulan, CAB mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 10.4 peratus kepada RM47.93 juta, di sebalik peningkatan 3.92 peratus dalam hasil kepada RM1.17 bilion.

Penurunan itu disebabkan terutamanya oleh ketiadaan subsidi kerajaan berjumlah RM39.8 juta diterima pada suku pertama tahun kewangan 2024.

Pengarah Urusan Kumpulan, Christopher Chuah Hoon Phong berkata, pihaknya berbangga dengan keputusan berkenaan, setelah beroperasi tanpa subsidi selama lima suku tahun sejak pemberhentian subsidi kerajaan.

“Pertumbuhan terutamanya pada peringkat operasi menunjukkan kecekapan dan kemampuan kami untuk berkembang maju tanpa subsidi.

“Bermula sebagai syarikat ayam pedaging, kami telah berkembang menjadi syarikat makanan bersepadu dengan bahagian pemprosesan makanan dan runcit.

“Kami optimis dengan prestasi kumpulan pada suku akan datang, dan akan secara proaktif melaksanakan strategi untuk menyokong pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |