Ungkapan ‘I love you’ belum cukup mahal

8 hours ago 3

PETALING JAYA – Dalam hubungan, ungkapan i love you (aku cinta kamu) sering dianggap puncak kepada rasa cinta.

Namun, kata Public Health Malaysia (PHM), perasaan itu tidak cukup hanya dengan tiga patah perkataan, sebaliknya memerlukan pendekatan memahami, mendengar dan saling menghargai antara satu sama lain.

Menurut PHM, kadangkala hubungan tidak memerlukan soalan yang berat, cukup diaju secara ringkas untuk membuka semula pintu cerita selain menghidupkan kembali emosi setelah seharian sibuk bekerja.

“Sebab dalam hubungan, yang paling mahal bukan sekadar ‘i love you’. Tapi bila pasangan rasa didengar, dilihat dan masih dipilih, walaupun selepas banyak perkara yang dilalui bersama.

“Malam ni, cuba tanya satu soalan. Mungkin jawapannya buat hati rasa hangat semula,” katanya.

PHM turut berkongsi beberapa soalan yang dianggap ‘manis’ dalam menceriakan suasana sesebuah hubungan.

“10 soalan ‘manis’ untuk tanya pasangan. Bila awak mula sedar yang awak nak saya ada dalam hidup awak? Kalau boleh ulang satu memori dengan saya, awak nak ulang yang mana? Apa benda kecil yang saya selalu buat tapi sebenarnya buat hati awak cair?

“Selain itu, boleh juga diajukan soalan seperti, kalau awak tulis surat cinta untuk saya, ayat pertama awak apa? Bahagian mana tentang saya yang buat awak rasa tenang macam di rumah? Bila awak tengok saya, apa yang awak nampak yang orang lain mungkin tak nampak?,” kongsi PHM.

Pada masa sama, PHM juga mencadangkan soalan yang memerlukan pasangan berfikir seketika supaya dapat menimbulkan suasana mesra antara satu sama lain.

“Memori kita yang mana awak rasa takkan pernah bosan untuk cerita semula? Kalau kisah cinta kita jadi filem, tajuk dia apa? Hidup awak akan jadi macam mana kalau kita tak pernah bertemu? Apa satu perkara tentang kita yang awak harap kekal sampai tua?,” cadangnya.

Menurut perkongsian PHM, soalan-soalan kecil seperti itu mungkin nampak mudah, tetapi kesannya besar kerana ia memberi ruang untuk pasangan merasa dihargai, difahami dan diraikan dalam hubungan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |