Umat Islam berpecah akibat fahaman sempit

1 day ago 11

ARAFAH – Ibadah haji merupakan medan penyatuan yang agung serta simbol kesatuan sejagat yang berupaya mengembalikan kekuatan umat Islam sekiranya dihayati dengan keinsafan dan kefahaman yang mendalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menerusi khutbah Arafah bertajuk Seruan Tauhid dan Kesatuan Umat berkata, umat Islam di seluruh dunia kini berdepan pelbagai bentuk perpecahan akibat fahaman sempit, kepentingan diri dan semakin hilangnya semangat ukhuwah.

“Tiada pangkat, tiada kasta, tiada kemegahan dunia dan yang tinggal hanyalah dua helai kain putih, dan hati yang tunduk kepada Ilahi. Di sinilah Islam memansuhkan diskriminasi dan menegakkan keadilan sejati bahawa nilai seorang insan bukan pada rupa atau harta, tetapi pada takwa dan amal soleh.

“Ibadah haji turut membawa maqasid sosial yang penting iaitu menyatukan hati umat Nabi Muhammad SAW demi mengukuhkan perpaduan dan kekuatan ummah.

“Umat Islam turut diseru agar menghayati nilai-nilai luhur yang dituntut sepanjang menunaikan ibadah haji demi memastikan ibadah yang dilaksanakan bukan sahaja sah, tetapi juga memberi kesan mendalam kepada pembentukan akhlak dan peribadi,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan jemaah agar memperbanyakkan istighfar dan menjadikan ibadah haji sebagai titik tolak kepada perubahan diri ke arah menjadi hamba yang kembali kepada fitrah, penuh keinsafan dan ketakwaan kepada Allah SWT

Beliau turut menyeru jemaah haji agar sentiasa menjaga keselamatan diri, harta dan keluarga agar tidak cuai sehingga menjejaskan keseluruhan ibadah.

“Selain itu, jemaah juga diingatkan supaya menunaikan hak sesama manusia dengan bersikap toleransi dan saling bantu-membantu serta menghindari sebarang bentuk perbalahan kerana dikhuatiri akan merosakkan roh haji,” katanya.

SEBAHAGIAN jemaah haji mendengar khutbah Arafah hari ini.

Semalam Kosmo! melaporkan, kesemua 31,600 jemaah Malaysia berwukuf di Arafah semalam sebagai kemuncak kepada perjalanan ibadah haji.

Selepas berwukuf kesemua jemaah akan singgah atau bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina sehingga Isnin (13 Zulhijjah).

Selepas selesai dengan ibadah tersebut, jemaah negara bakal kembali ke Mekah untuk tawaf, sai dan tahalul sebelum ibadah haji mereka lengkap.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |