Ukraine letupkan jambatan Crimea

1 day ago 9

KYIV – Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) menyatakan bahawa ia meletupkan jambatan Crimea menggunakan bahan letupan bawah laut semalam, dalam operasi yang berlangsung selama beberapa bulan, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Menurut SBU, ia telah membinasakan sebahagian tiang jambatan itu dengan bahan letupan bersamaan dengan 1,100 kilogram trinitrotoluene (TNT).

“Bahan letupan pertama diletupkan tanpa melibatkan korban orang awam,” kata SBU. 

Media Russia pada mulanya melaporkan, jambatan itu ditutup seketika kepada lalu lintas tetapi telah dibuka semula pada pukul 10 pagi (waktu tempatan).

Namun, pihak berkuasa tempatan kemudian memberi amaran bahawa jambatan tersebut ditutup semula buat sementara waktu pada hari yang sama.

Menurut agensi berita AFP, tahap kerosakan yang disebabkan oleh letupan tersebut tidak jelas, manakala jambatan sepanjang 19 kilometer itu kelihatan beroperasi seperti biasa pada petang semalam.

Russia belum lagi mengulas mengenai serangan itu tetapi penulis blog tentera membuat spekulasi bahawa dron bawah air, dan bukannya bahan letupan telah digunakan.

Pengarah SBU, Leftenan Jeneral Vasyl Malyuk berkata, Ukraine telah memusnahkan jambatan Crimea pada 2022 dan 2023 dan Kyiv meneruskan tradisi itu di bawah laut.

“Tiada kemudahan haram Russia mempunyai tempat di wilayah negara kita.

“Justeru, Jambatan Crimea adalah sasaran yang benar-benar sah, terutamanya memandangkan musuh menggunakannya sebagai platform logistik untuk membekalkan tenteranya,” kata Malyuk.

Turut dikenali sebagai Jambatan Kerch, kemudahan itu dibina oleh Russia selepas ia merampas Semenanjung Crimea pada 2014, dan dianggap sebagai simbol pendudukan yang dibenci oleh penduduk Ukraine. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |