UEM Edgenta catat kerugian RM11.8 juta suku pertama

22 hours ago 5

PETALING JAYA – UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) mencatatkan Kerugian Sebelum Cukai (LBT) sebanyak RM11.8 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (Q1 2025) berbanding Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM19.6 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Jumlah hasil berkurangan kepada RM646.1 juta, iaitu penurunan sebanyak 4.6  peratus berbanding RM677.6 juta yang direkodkan dalam suku pertama TK2024.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, prestasi syarikat dipengaruhi oleh peningkatan kos operasi, khususnya dalam aspek tenaga kerja, penunaian beberapa kontrak one-off serta faktor bermusim.

Menurut beliau, meskipun berhadapan dengan cabaran, UEM Edgenta menyaksikan momentum positif melalui pengoperasian antarabangsanya, yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan syarikat pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Walaupun suku pertama menghadapi beberapa cabaran seperti peningkatan kos dan faktorbermusim, kejayaan kami menembusi pasaran utama seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu(UAE) dan Singapura baru-baru ini telah menyediakan asas bagi usaha pemulihan.

“Kami kekal komited terhadap pengurusan kos, meningkatkan kecekapan operasi serta memanfaatkan kehadiran kami di peringkat antarabangsa bagi menyokong usaha pemulihan jangka panjang,” jelas beliau.

Syahrunizam menerangkan, bahagian penyelesaian penjagaan kesihatan telah menyumbang hasil sebanyak RM386.2 juta,bagi suku ini, sekali gus mengekalkan prestasi stabil dalam perkhidmatan sokongan hospital serta memperluaskan kehadirannya dalam sektor penjagaan kesihatan swasta dan pasaran berkaitan.

Manakala, bahagian penyelesaian hartanah dan kemudahan telah mencatatkan penurunan hasil berikutan penunaian kontrak yang telah dirancang, namun operasi antarabangsa telah menunjukkan pertumbuhan yang kukuh.

Sementara itu, bahagian penyelesaian infrastruktur menyaksikan pengurangan projek perundingan, namun peningkatan aktiviti penyelenggaraan lebuh raya ekspres
dan pengkomersialan kilang Turapan Asfalt Kitar Semula (Recycled Asphalt Plant – RAP) dijangka menyokong prestasi pada suku akan datang. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |