UDA tawar 422 unit hartanah, perkukuh pasaran di Wilayah Selatan

3 hours ago 2

JOHOR BAHRU – UDA Holdings Berhad (UDA) menawarkan 422 unit kediaman menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat bagi memperkasakan pemilikan hartanah di kawasan bandar.

Usaha ini sejajar dengan komitmen UDA untuk memperkasa komuniti serta menyediakan akses pemilikan hartanah yang lebih inklusif khususnya kepada golongan bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil berkata, projek terbaharu itu mencerminkan kejayaan UDA selama lima dekad dalam menerajui pembangunan bandar di Johor seperti Bandar Baru UDA, Pusat Bandar Tampoi, Skudai Kanan dan Bandar UDA Utama.

“Sebagai langkah proaktif, UDA turut melancarkan Promosi Jualan MeiRiah Tawaran Hebat UDA Heights dan melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memberi nilai tambah kepada pembeli.

“Melalui promosi ini, UDA menawarkan baucar IKEA Tebrau berjumlah RM20,000 kepada 10 pembelian terawal hartanah kediaman dan komersial UDA di Johor di mana setiap pembelian menerima RM2,000.

“UDA juga akan menanggung kos guaman dan setem duti untuk Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pinjaman Bank untuk semua hartanah dalam proses pembinaan,” katanya pada Majlis Perasmian Promosi Jualan MeiRiah Tawaran Hebat UDA Heights di Bandar UDA Utama di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall, Imran Salleh dan Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn. Bhd., Muhammad Ismail Dasuki.

Antara projek yang ditawarkan termasuk rumah teres dua tingkat, rumah banglo dan rumah berkembar dua tingkat, rumah teres se­tingkat serta kedai pejabat dua dan tiga tingkat.

Selain itu, Johari berkata, UDA turut memperkenalkan promosi pendaftaran bagi projek-projek baharu yang akan dilancarkan pada tahun 2025 dan 2026.

Jelasnya, inisiatif ini memberi peluang kepada pembeli untuk memiliki hartanah daripada pelbagai jenis seperti rumah bandar (townhouse) dua dan tiga tingkat, apartmen servis 35 tingkat serta kedai murah satu tingkat.

Katanya, projek yang sedang dibangun dan dirancang ini menekankan konsep amalan pembinaan hijau selari dengan usaha ­menyokong matlamat pembangunan mampan untuk kepentingan gaya hidup lestari, selain mengutamakan aspek keselamatan secara inklusif dan holistik demi kesejahteraan komuniti.

“Reka bentuk moden menampilkan ruang terbuka, siling tinggi untuk pengudaraan semula jadi dan tingkap bersaiz besar bagi pencahayaan maksimum melengkapi keperluan gaya hidup masa kini yang mengutamakan keselesaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |