MUNICH – Pengendali Inter Milan, Simone Inzaghi meletakkan harapan tinggi untuk membantu pasukan menamatkan kemarau 15 tahun dengan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada aksi final bertemu Paris Saint-Germain (PSG) awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad Nerazzurri berada dalam kedudukan terbaik untuk meraih gelaran trebel musim ini, namun bergelut dengan prestasi pada bulan lalu sehingga tersingkir di separuh akhir Piala Itali sebelum terlepas gelaran juara Serie A.
Namun, Inter masih berpeluang untuk mengubat duka dengan meraih sekurang-kurangnya satu trofi berprestij UCL sekali gus ditabalkan sebagai ‘raja Eropah’ bagi saingan musim ini.
Kata Inzaghi, perlawanan bertemu PSG membuka ruang dan peluang untuk barisan pemain melakar sejarah baharu dan mengubati kekecewaan yang lepas.
“Saya akui kegagalan menjulang trofi Scudetto menjejaskan emosi pemain pada minggu lalu. Ia bukanlah sesuatu yang mudah terutama apabila kejuaraan terpaksa ditentukan di hari terakhir perlawanan.
“Namun, kami masih ada peluang untuk mengubati kekecewaan itu dengan memberikan yang terbaik pada aksi final UCL kali ini sekali gus menjulang trofi yang lebih bermakna,” katanya.
Inzaghi juga percaya pengalaman menjadi kekuatan utama Inter untuk memenangi trofi UCL buat kali pertama sejak edisi 2010 memandangkan sebahagian besar pemain utama berusia pertengahan 30-an.
“Faktor usia bukanlah isu besar kerana di atas padang, ia juga boleh membantu pemain untuk kekal tenang dalam apa jua situasi. Mereka ada pengalaman yang cukup dan kini masa untuk bekerja keras,” katanya.
Sementara itu, Presiden Inter, Beppe Marotta mendedahkan pihak pengurusan bersedia untuk menawarkan kontrak baharu kepada Inzaghi sekiranya membawa pulang trofi UCL musim ini.
“Dalam saingan UCL, saya percaya apa sahaja boleh berlaku. Selepas ini kami akan fokus Piala Dunia Kelab dan kemudian saya berharap ada ruang untuk berbincang dengan Inzaghi mengenai tawaran kontrak baharu,” katanya. – AGENSI