PARIS – Selepas berjaya menguasai saingan domestik di Perancis hampir saban tahun, Paris Saint-Germain tiba di pentas final Liga Juara-Juara (UCL) yang menjadi satu-satunya gelaran idaman, tetapi masih gagal direalisasikan sehingga kini.
Turun menentang Inter Milan di Allianz Arena awal pagi esok, ia merupakan detik terbaik buat jaguh Ligue 1 yang dikendalikan oleh Luis Enrique itu untuk menamatkan penantian panjang mereka untuk muncul juara dan menyertai kelab elit Eropah.
Kemenangan ke atas Nerazzurri juga menjadi detik penting buat PSG ketika mereka sudah meraih dua piala musim ini dan trofi UCL kali ini pastinya akan melengkapkan gelaran trebel yang mereka dambakan.
Enrique berjaya mentransformasi pasukan itu menjadi pasukan yang lebih baik dan seimbang musim ini biarpun tanpa kehadiran pemain bintang seperti yang pernah dimiliki sebelum ini apabila mendapat khidmat Neymar, Lionel Messi dan Kylian Mbappe.
Selepas 10 tahun lalu beliau berjaya membantu Barcelona menjulang gelaran Eropah itu, Enrique kembali sekali lagi ke pentas final untuk merangkul gelaran kedua peribadi sekali gus meletakkannya dalam kelompok pengendali elit.
Selain itu, kejayaan merangkul gelaran UCL musim ini juga menyaksikan Enrique bakal diletakkan sebaris dengan dengan Jock Stein, Rinus Michels, Guus Hiddink, Sir Alex Ferguson, Jose Mourinho, Jupp Heynckes dan Hansi Flick serta Pep Guardiola yang membantu pasukan masing-masing meraih gelaran trebel.
“Kami mahu mencipta sejarah buat PSG untuk meraih kemenangan buat kali pertama dalam saingan UCL. Memenanginya buat kali pertama sentias menjadi perkara yang sukar, tetapi ia suatu yang memotivasikan kami.
“Hanya dua pasukan dan melibatkan satu perlawanan terakhir. Saya fikir kami perlu bangga dengan apa yang telah kami lakukan, tetapi kami perlu mengakhiri tugas ini kerana hasrat kami adalah untuk mencipta sejarah.
“Kami layak untuk menikmati pengalaman di pentas final. Saya tidak ragu dengan fakta bahawa peminat PSG dan kelab ini layak untuk meraih kemenangan,” katanya.
Laluan PSG dalam saingan Eropah musim ini tidak mudah apabila mereka terpaksa beraksi di pusingan playoff selepas hanya meraih kedudukan ke-15 di peringkat kumpulan sebelum bertemu Brest.
Selepas berjaya melayakkan diri, mereka terpaksa berdepan Liverpool di pusingan 16 terbaik, sebelum menghadapi halangan Aston Villa di suku akhir dan berjaya menumbangkan Arsenal pada aksi kelompok empat pasukan terbaik. – AGENSI