Tular sindiket bawa PATI guna bot laju, tambang RM1,500

10 hours ago 8

PETALING JAYA – Tular dakwaan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia ke beberapa lokasi di Malaysia menggunakan bot laju dengan bayaran RM1,500 bagi setiap individu.

Dakwaan itu dikongsikan seorang pengguna Threads menerusi beberapa rakaman video yang dipercayai dimuat naik oleh sebuah akaun TikTok dari negara jiran.

Menurut hantaran tersebut, laluan yang didakwa digunakan termasuk Kukup, Pontian, Ayer Baloi dan Sanglang.

Ketika ditanya mengenai laluan perjalanan, individu berkenaan malah mendakwa pelanggan boleh diambil dari mana-mana laluan sekali pun.

Rakaman yang tular memaparkan sebuah bot laju bergerak di perairan, selain sebuah bot lagi yang dipenuhi sekumpulan individu dipercayai penumpang.

Berdasarkan tulisan yang tertera pada salah satu video, perjalanan sejauh kira-kira 65 kilometer itu didakwa mengambil masa hanya tiga jam.

Pemilik akaun TikTok berkenaan turut mendakwa sebuah bot laju itu mampu membawa sehingga 27 orang dalam satu perjalanan.

Dalam ruangan komen, apabila ditanya mengenai tambang perjalanan ke Tanjung Balai, pemilik akaun itu menjawab bayaran dikenakan sebanyak RM1,500.

Pemilik akaun itu juga didakwa memberi jaminan perjalanan adalah selamat selain menjawab pertanyaan orang ramai mengenai tambang dan kapasiti bot.

Bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan lokasi dan tarikh sebenar rakaman berkenaan dirakam, selain kesahihan dakwaan mengenai aktiviti penyeludupan tersebut.

Susulan itu, orang ramai menggesa agar pihak berkuasa bertindak segera bagi mengekang penyeludupan PATI beramai-ramai masuk ke Malaysia.

“Macam mana boleh lepas, mustahil sekali pun tak pernah bertembung dengan pihak berkuasa. Mohon ambil tindakan segera kalau tak nak makin teruk pendatang dekat Malaysia ni,” komen Raisya.

“Bukan tak dapat kesan tapi tak dapat kejar bot mereka. Arwah ayah aku pernah cerita kes dia kerja macam ni lah. Bukan main laju bot depa. Bayangkanlah empat hingga lapan enjin,” tulis Syawal. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |