Tukang paip didenda RM1,000 pukul lelaki sampai cedera

22 hours ago 4

SHAH ALAM – Seorang pekerja pemasangan tangki paip didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah memukul seorang lelaki sehingga cedera, minggu lalu.

Tertuduh, C. Haritharan, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali.

Haritharan didakwa sengaja mendatangkan kecederaan dengan memukul seorang lelaki berusia 47 tahun seterusnya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah apartment di Taman Puchong Intan kira-kira pukul 2.15 pagi pada 24 Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Peguam M. Partiben dalam rayuan mitigasinya memaklumkan anak guamnya yang masih bujang merupakan anak yatim piatu dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Tertuduh menyesal atas kesalahan dilakukan dan minta maaf serta memohon satu hukuman denda yang minimum,” katanya.

Sementara itu, saudara Haritharan iaitu N. Selva Raj, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memukul individu sama sehingga cedera menggunakan kaca marble sebagai senjata di lokasi dan masa yang sama.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman dengan pertuduhan terhadap Selva Raj adalah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.

Dia diwakili Peguam Mohd. Safwan Saleh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi serta sebutan semula kes pada 29 Julai depan.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki tempatan parah ditetak tiga lelaki termasuk bekas suami kekasihnya gara-gara cemburu dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Puchong Intan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |